Ekspo Selangkah Ke UiTM 2012 sasar 30,000 pengunjung


Universiti Teknologi Mara (UiTM) Malaysia menyasarkan 30,000 pengunjung akan hadir ke Ekspo Selangkah Ke UiTM 2012 di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) kampus Shah Alam selama dua hari bermula 24 Mac ini.

Penolong Pendaftar Kanan Bahagian Pengambilan UiTM, Mohd. Nizam Nordin berkata, ekspo edisi kelima membabitkan 24 buah fakulti itu diadakan bagi memberi penerangan dan maklumat terperinci mengenai program-program pengajian sedia ada dan baharu yang ditawarkan oleh UiTM.

“Kami berharap pihak yang berminat terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), matrikulasi, dan diploma serta mereka yang berhasrat melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dapat hadir ke ekspo tersebut.

“Pada ekspo tersebut calon-calon akan diminta menjalani Ujian Minat Kerjaya bagi menentukan kecenderungan dan kemampuan mereka memasuki kursus tertentu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Mohd. Nizam, melalui ekspo tersebut, UiTM juga akan memperkenalkan satu lagi kursus baharu iaitu Teknologi Agro bagi calon-calon yang berminat meneroka bidang pertanian moden.

“Pengenalan kursus baharu itu selaras dengan misi UiTM untuk menambah bilangan pelajar menduduki kursus yang mempunyai permintaan dalam pasaran kerja,” katanya.

Ekspo tersebut turut diadakan oleh kampus-kampus cawangan UiTM di seluruh negara bagi memudahkan ibu bapa dan para pelajar yang berada di luar kawasan Lembah Klang menghadirinya.

Lokasi yang telah dipilih ialah Seremban Parade, Negeri Sembilan; Kompleks Star, Perlis dan Dewan Millenium, Kepala Batas, Pulau Pinang, juga pada 24 dan 25 Mac.

Pada tarikh sama, program tersebut turut diadakan Padang A, UiTM Perak; Star Parade dan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Sungai Petani, Kedah; Perpustakaan Awam Kuala Terengganu, Terengganu; Dataran Segamat, Johor; Ruang Legar Bazar Kuala Semantan di Temerloh, Pahang; Kampus UiTM Bukit Sekilau, Kuantan, Pahang dan UiTM Bandaraya Melaka.

Sementara itu, di Sabah, ekspo tersebut akan diadakan di Kompleks Makmal Sains dan Agroteknologi UiTM Sabah dan Sabinda Plaza, Tawau (24 hingga 25 Mac) manakala di Sarawak ia akan berlangsung di kompleks beli-belah The Spring, Kuching (23, 24 dan 25 Mac)
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url