Karnival Pendidikan MARA 2012
KARNIVAL PENDIDIKAN MARA 2012
MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) meneruskan penganjuran Karnival Pendidikan MARA (KPM) kali ke-13 pada tahun 2012 dalam usaha menyalurkan maklumat berkenaan peluang-peluang pendidikan dan perancangan kerjaya. Penganjuran KPM ini dilihat mampu memastikan golongan pelajar dan belia serta graduan membuat pilihan bijak dalam menentukan hala tuju karier pada masa hadapan.
Selain itu, KPM juga merupakan penghubung bagi memudahkan urusan Institusi Pendidikan MARA (IPMa), IPTA/S serta majikan untuk mendekati kumpulan sasar dengan mempromosi kursus-kursus dan program pengajian sedia ada dan baru yang ditawarkan di peringkat Sijil, Diploma, Ijazah Pertama, Profesional serta Pasca Siswazah terutama dalam 12 Bidang Utama Negara (NKEA). MARA akan menggerakkan tujuh IPMa secara agresif untuk mempromosikan lebih 300 kursus di pelbagai peringkat pengajian.
Dijangkakan sejumlah 400 buah institusi pendidikan tinggi tempatan dan luar negara akan mengambil bahagian dalam KPM 2012. KPM juga menjadi platform untuk MARA menyampaikan informasi berkaitan kemudahan penajaan atau penganjuran pelajaran, penyemakan baki pinjaman serta program-program terkini MARA melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan.
Lebih menarik lagi, KPM 2012 dilengkapkan dengan Pameran Kerjaya dan Temuduga Terbuka di lima buah lokasi iaitu di Melaka, Kuala Lumpur, Pahang, Terengganu dan Perak. Majikan yang mengambil bahagian juga akan mengadakan sesi temu duga terbuka bagi pengambilan pekerja di samping mengadakan beberapa siri seminar kerjaya meliputi tips atau panduan mencari kerja, etika menghadiri temu duga dan soft skills yang diperlukan untuk menghadapi temu duga.
Lebih 50 ruang pameran bakal disertai oleh majikan dan syarikat yang menawarkan peluang kerjaya dalam bidang berkaitan dengan NKEA. Pengunjung yang berminat untuk menghadiri temu duga terbuka dikehendaki membawa resume dan sijil-sijil berkaitan.
Dengan kehadiran pengunjung melebihi 200 ribu pada setiap tahun, Karnival Pendidikan MARA merupakan antara pameran pendidikan terbesar di negara ini dengan fokus utama membangunkan modal insan kelas pertama yang diperlukan negara. Justeru itu, IPTA/S dan usahawan terutama dalam perniagaan berkaitan pendidikan perlu merebut peluang ini untuk menyertai jelajah KPM 2012 di sembilan lokasi yang terpilih.
10 – 11 Mac : MELAKA
Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh
17 – 18 Mac : KUALA LUMPUR
Dewan Merdeka & Dewan Tun Razak 4, PWTC
20 – 21 Mac : KEDAH
Stadium Sultan Abdul Halim , Alor Setar
24 – 25 Mac : PAHANG
Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah, Kuantan
28 – 29 Mac : KELANTAN
Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu
4 – 5 April : TERENGGANU
Terengganu Trade Centre, Kuala Terengganu
7 – 8 April : PERAK
Stadium Indera Mulia, Ipoh
11 – 12 April : SARAWAK
Dewan Pameran Permata, Kuching
14 – 15 April : SABAH
Suria Sabah, Kota Kinabalu
http://www.mara.gov.my/
http://www.facebook.com/KarnivalPendidikanMARA