Top Ad 728x90

PNB umum dividen 6.5 sen untuk ASM 2012


Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), hari ini mengumumkan dividen 6.5 sen seunit bagi Amanah Saham Malaysia (ASM) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2012.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata pengagihan pendapatan itu adalah lebih tinggi daripada 6.38 sen seunit yang dibayar tahun lalu.
Beliau berkata, pengagihan pendapatan ini akan membabitkan pembayaran berjumlah RM820.24 juta, meningkat sebanyak 8.6 peratus berbanding RM755.05 juta yang dibayar tahun lalu.
Katanya, pembayaran itu akan dinikmati oleh 546,341 pemegang unit yang kini memegang 12.62 bilion unit ASM.

"Hingga 21 Mac, ASM mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM978.32 juta. Pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM774.77 juta atau 79.2 peratus pendapatan kasar," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ahmad Sarji berkata, keuntungan daripada penjualan saham dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM53.59 juta atau 5.5 peratus, dan pendapatan selebihnya sebanyak RM149.96 juta atau 15.3 peratus diperoleh daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek.

Katanya, pengagihan pendapatan ini akan dilaburkan semula dalam unit-unit tambahan dan akan dikreditkan secara automatik dalam akaun pemegang unit pada 1 April, 2012.
Ahmad Sarji juga mengumumkan pengagihan pendapatan yang lebih tinggi bagi ketiga-tiga tabung di bawah Amanah Saham Gemilang (ASG), iaitu ASG-Pendidikan, ASG-Persaraan dan ASG-Kesihatan, bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2012.

Pemegang unit ASG-Pendidikan akan menerima tujuh sen seunit, ASG-Persaraan 7.05 sen seunit dan ASG-Kesihatan 7.10 sen seunit.

"Kadar yang diumumkan ini jauh lebih tinggi daripada tahun lalu, masing-masing pada kadar 5.6 sen seunit, 5.10 sen seunit dan 6.10 sen seunit," katanya.

Ahmad Sarji berkata, ASNB sudah memperuntuk pembayaran berjumlah RM3.6 juta bagi pengagihan pendapatan ASG-Pendidikan yang akan dinikmati oleh seramai 15,262 pemegang unit yang sudah melanggan 52.07 juta unit tabung ini.

Bagi ASG-Persaraan, RM1.49 juta sudah diperuntukkan yang akan memberi manfaat kepada 2,909 pemegang unit yang melanggan 21.20 juta unit manakala bagi ASG-Kesihatan, pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM4.57 juta akan dinikmati oleh 9,675 pemegang unit yang melanggan 64.42 juta unit tabung ini.

Urus niaga bagi ASM dan ASG ditangguhkan mulai hari ini hingga 1 April.

Mengulas tentang prestasi tabung-tabung ini, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata tabung-tabung itu berupaya membayar pengagihan pendapatan yang lebih tinggi.

"Bagaimanapun, kami mengambil keputusan untuk membayar pengagihan pendapatan (sebanyak) ini memandangkan persekitaran yang tidak baik sekarang," katanya.

Hamad Kama Piah berkata, PNB berupaya membayar 14 sen (untuk ASG-Kesihatan), 10 sen (ASG-Pendidikan), 12.2 sen (ASG-Persaraan) dan lapan sen untuk ASM.

Katanya, PNB akan terus memastikan strategi pemilihan stok dalam portfolio tabung-tabung itu akan terus memberi pulangan yang kompetitif setiap tahun dan mempunyai prospek jangka panjang yang baik.

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90