Top Ad 728x90

,

Raih kepercayaan pelanggan

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

SALAH satu cabaran utama sesuatu perniagaan, khususnya perniagaan baru ialah membina perniagaan yang berkualiti. Apabila perniagaan anda mula berkembang, anda perlu berurusan untuk membina hubungan dengan pelanggan baru.

Dalam kaji selidik, sebab terbesar seseorang pelanggan itu membuat keputusan untuk membeli atau tidak membeli ialah apabila mereka merasakan 'kepercayaan dan keyakinan' terhadap barang atau perniagaan berkenaan.

Sememangnya kepercayaan pelanggan (customer trust) itu amat penting di dalam mana-mana perniagaan sekalipun. Tidak kiralah dalam talian (online) atau luar talian (offline), pelanggan adalah elemen penting yang memberi nafas kepada sesebuah bisnes. Pendek kata, tanpa pelanggan tiadalah bisnes.

Dalam perniagaan di Internet, adalah penting untuk kita membina kepercayaan kepada pelanggan. Sebab pelanggan atau bakal prospek melakukan transaksi tanpa bersemuka dengan pihak yang mengendalikan sesuatu perniagaan.

Pelanggan mengenali penjual hanya menerusi internet sahaja. Bakal prospek pasti tidak yakin pada sesuatu perniagaan kalau mereka tidak mempunyai kepercayaan atau keyakinan terhadap perniagaan berkenaan.

Oleh sebab itu, kepercayaan bukanlah sesuatu yang boleh dibina dalam beberapa hari. Ia memerlukan masa yang panjang dan usaha yang berterusan untuk membina kepercayaan, namun ini bukanlah bererti ia satu tugas yang sukar.

Kepercayaan dan keyakinan yang tinggi terhadap sesebuah perniagaan boleh memberi impak yang mendalam dalam menentukan kejayaan organisasi tersebut.

Lebih-lebih lagi dalam membina keuntungan yang ternyata amat sukar diperoleh. Justeru, sesuatu perniagaan khususnya perniagaan yang baru bertapak perlu dibina di atas dasar yang betul dan jelas.

Berikut adalah dua bahagian penting yang boleh diadaptasikan untuk anda membina kepercayaan pelanggan kepada anda.

Semakin tinggi kepercayaan, semakin banyak bilangan barangan yang anda boleh jual dan semakin mahal harga yang anda boleh letakkan.

1) Bina kepercayaan pelanggan terhadap diri anda

Kepercayaan terhadap diri anda terbina melalui dua aspek utama iaitu pemerhatian pelanggan sendiri terhadap diri anda dan apa yang mereka dengar daripada orang lain.

Pemerhatian mereka meliputi apa yang mereka lihat, apa yang mereka dengar dan apa yang mereka tahu tentang diri anda.

Sebagai contoh, jika anda menjual produk menjadi jutawan, tetapi anda sendiri menggunakan kereta kancil. Mereka tidak akan percayakan anda.

Ini samalah seperti seseorang dengan berat badan 150 kilogram bercerita mengenai ubat menurunkan berat badan.

Anda perlu terlebih dahulu sanggup dan boleh menjadi role model kepada pelanggan anda. Pendek kata perlu ada nilai walk the talk.

Untuk membina kepercayaan, kualiti diri adalah sangat penting. Dalam dakwah lisanul hal lebih memberi impak berbanding dengan pendekatan-pendekatan yang lain.

Ini kerana manusia akan lebih dan mudah terkesan dengan apa yang dilihat berbanding dengan apa yang didengar atau dirasa.

Anda juga perlu sentiasa melakukan sesuatu secara konsisten. Pengurusan masa hendaklah diberi perhatian yang serius, jangan bercakap atau janjikan sesuatu yang anda tidak mampu penuhi.

Jika anda berjanji untuk bertemu pada pukul sembilan, sampai sekurang-kurangnya 10 minit lebih awal. Perkara-perkara kecil sebegini banyak membantu membina kepercayaan pelanggan terhadap diri anda.

2) Bina kepercayaan pelanggan terhadap produk atau servis anda

Membina kepercayaan terhadap produk anda adalah juga sesuatu yang sangat penting kerana pelanggan yang berpuas hati akan terus bercerita kepada orang lain mengenainya.

Promosi mulut ke mulut seperti ini adalah sesuatu yang paling berkesan untuk membina kepercayaan pelanggan supaya mereka membeli daripada anda.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90