Ramai makan lebih ketika perayaan

Kementerian Kesihatan mendapati 51.4 peratus responden Cina mengalami peningkatan berat badan selepas 15 hari sambutan Tahun Baru Cina, baru-baru ini menerusi kajian dijalankan 9 Februari lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata peningkatan itu secara purata sebanyak 0.7 kilogram itu, menunjukkan perubahan berat badan mempunyai kaitan dengan pengambilan makanan ketika musim perayaan berkenaan.

“Jadi, rakyat perlu menjaga berat badan masing-masing kerana mereka tidak boleh menganggap peningkatan ini adalah sihat, sebaliknya mungkin berisiko dijangkiti penyakit tidak berjangkit (NCD).

“Dalam kajian itu juga, 12.7 peratus responden mengalami penurunan berat badan, manakala 35.9 peratus responden pula tidak menunjukkan sebarang perubahan berat badan,” katanya.

Kajian itun membabitkan 181 responden dari seluruh negara kecuali Perlis dan Kelantan dengan majoriti berumur di antara 20 hingga 29 tahun dan purata umur responden ialah 37 tahun.

Mengulas dakwaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kononnya gula-gula lolipop yang dijual di negeri itu mengandungi bahan toksik, Tiong Lai berkata, pihaknya memandang serius dakwaan itu dan sudah mengarahkan pegawai untuk menyiasat kes terbabit.

“Kita akan mengambil sampel gula-gula lolipop untuk dikaji serta diuji di makmal dan kami yakin mendapat laporan berhubung kes itu dalam tempoh terdekat,” katanya.

Ditanya sama ada Kementerian Kesihatan akan menggantung penjualan produk itu, katanya, dakwaan itu perlu disahkan sebelum tindakan susulan diambil pihaknya.

Berhubung isu kontroversi mengitar semula minyak masak yang dilaporkan baru-baru ini, beliau berkata, setakat ini 22 kilang di seluruh negara yang mengambil minyak masak terpakai daripada restoran, Kentucky Fried Chicken (KFC) dan McDonald’s (McD) sudah disiasat tetapi mereka hanya menggunakannya untuk membuat sabun serta biodiesel.

- BERITA MINGGU
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url