Syarat layak khidmat guaman percuma
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata bagi kesalahan yang membawa hukuman mati, mahkamah menyediakan perkhidmatan peguam yang dilantik mahkamah.
Katanya, bantuan guaman dan khidmat nasihat dalam perkara jenayah akan diberikan kepada warga negara yang memerlukan bantuan guaman pada peringkat tangkapan, reman atau tahanan dan permohonan ikat jamin tanpa had pendapatan.
Bagaimanapun, katanya, satu ujian kemampuan akan dijalankan untuk menentukan kelayakan orang yang akan menerima bantuan guaman pada peringkat perbicaraan dan rayuan di mahkamah.
“Ujian kemampuan akan dilakukan dan perkhidmatan peguam YBGK hanya akan diberikan kepada warga negara Malaysia yang memenuhi syarat dua kategori, iaitu mereka yang mempunyai sumber pendapatan tidak melebihi RM25,000 setahun akan diberi bantuan guaman secara percuma.
“Mereka yang mempunyai sumber pendapatan melebihi RM25,000 setahun tetapi tidak melebihi RM36,000 setahun akan dikenakan bayaran RM300,” katanya menjawab soalan bertulis Lim Lip Eng (DAP-Segambut). Lim meminta penjelasan adakah setiap tertuduh dalam kes jenayah ditawarkan khidmat guaman melalui YBGK untuk membela mereka.
Perdana Menteri berkata, bantuan guaman dalam kes jenayah penting bagi memastikan semua pihak mendapat hak kesamarataan di sisi undang-undang sebagai mana termaktub dalam Fasal (1) Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, apabila seseorang warga negara ditahan atas kesalahan jenayah, agensi penguatkuasaan yang berkenaan akan menghubungi Pusat Bantuan Guaman Negeri di bawah Majlis Peguam di Semenanjung Malaysia dan Persatuan Undang-Undang Sabah dan Persatuan Peguam Bela Sarawak bagi mendapatkan khidmat peguam yang berdaftar dengan YBGK.
YBGK diperbadankan pada 25 Januari 2011 sebagai satu syarikat khairat mengikut Akta Syarikat 1965 (Akta 125) akan memulakan operasinya pada akhir bulan ini.
- BERITA HARIAN
melihat pembaikpulih legal aid oleh Majlis Peguam Malaysia yg sedia ada lebih efisien dengan penglibatan kerajaan dalam bentuk kos. Sekaligus mengenepikan isu hak diwakili dalam soal perundangan. - hishamnazir.com