Penulis Novel Rosmizah menulis ketika pagi buta
Ketika hening pagi hari itulah idea mencurah-curah keluar dari mindanya membuatkan dia berjaga pada pukul 2 pagi dan ralit menulis hingga ke subuh.
Itulah permulaan jadual hariannya ketika dalam misi menyelesaikan setiap novelnya sehingga sanggup tidur satu atau dua jam sahaja kerana perlu bangun menguruskan keluarga serta ke pejabat di siang hari.
"Mungkin cara penulisan saya sedikit berbeza dengan penulis lain yang sanggup mengambil masa setahun atau lebih untuk menyiapkan sebuah novel kerana saya akan tetapkan tarikh akhir menyiapkannya.
"Contohnya saya beri masa tiga bulan untuk menulis membuatkan saya perlu berdisiplin dan memberi sepenuh komitmen dalam penghasilan karya saya itu walaupun perlu berjaga di awal pagi.
"Saya ada menulis di siang hari iaitu ketika di syarikat penerbitan saya, SR Publication tetapi selalunya idea lebih banyak datang ketika waktu malam," ceritanya yang bakal melancarkan buku terbarunya, Takdir Itu Milik Aku pada 28 April ini di Dewan Kenanga, Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.
Sambung Rosmizah, diari sehariannya lebih berkisar tentang aktiviti di pejabatnya yang kini mempunyai enam orang penulis. Dia sendiri akan menyemak manuskrip yang dihantar dan menyunting selain memerah idea untuk setiap bahan terbarunya.
Dia juga turut turun padang ke syarikat percetakan serta ke kedai buku bagi memeriksa stok novel keluaran syarikatnya dan memerhati carta buku popular di sana.
Namun, walau sesibuk manapun aktiviti hariannya, dia pasti akan cuba mencuri masa untuk diri sendiri dan suami, Mazlan Zainol Abidin serta dua anak lelakinya.
"Sekarang ini saya suka membaca buku 1 hari 1 Resipi oleh Chef Hanieliza kerana dapat menambahkan lagi menu untuk dicuba memandangkan saya juga suka memasak," ujarnya yang gemar memasak kuah asam pedas.
Menulis kerana mimpiMerungkai kisah pembabitan Rosmizah ke dalam dunia penulisan, ujarnya, dia tidak pernah terbayang terjebak dengan profesion tersebut kerana selesa dengan kerjayanya sebagai peguam sejak 15 tahun lalu.
Semuanya bermula dengan mimpi yang dialaminya selama tiga hari berturut-turut sekitar 2008 yang boleh dikatakan menghantuinya kerana ingatannya terhadap mimpi bersiri itu sangat jelas.
Dia bukan watak utama mimpi itu. Dalam mimpi tersebut, Rosmizah menyaksikan penderitaan seorang perempuan melalui kehidupan penuh onak duri malah sehingga didera dengan teruk kerana sifatnya yang baik hati.
Rosmizah akhirnya memilih untuk mengabadikan mimpinya itu ke dalam bentuk novel dan tidak disangka-sangka mendapat sambutan yang hangat.
"Saya tak tahu kenapa saya alami mimpi sedemikian. Mungkin kerana kes-kes mahkamah yang saya pernah uruskan sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi membentuk satu jalan cerita tersendiri.
"Ia adalah permulaannya dan sejak itu, novel-novel tulisan saya dihasilkan atas permintaan pembaca yang sering berhubung melalui surat dan e-mel," ujarnya yang turut menulis novel Cinta Kau Dan Aku dan Lafazkan Kalimah Cinta.
Menurutnya, idea penulisannya yang sering bertemakan kasih sayang, kekeluargaan dan persahabatan sering diperolehi daripada kisah masyarakat sekeliling membuatkan pembaca berasa seolah-olah mereka antara watak novelnya.
Dari peguam ke penulisApabila mula menguruskan syarikat penerbitan, ibu kepada Mohd. Haziq, 10, dan Mohd. Haiqal, 11, ini mengakui dia memperlahankan langkahnya sebagai seorang peguam.
Akuinya, dia tidak menyesal memilih untuk beralih ke bidang penulisan pula kerana berasa seronok melakukan rutin lain daripada yang telah dia lalui sejak 15 tahun lalu.
"Kalau dulu saya berdepan dengan orang berbeza, berunding dengan hakim dan peguam, kini perasaan sungguh lain dan menarik kerana saya berjumpa dengan peminat yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia," ujarnya.
- MINGGUAN MALAYSIA