Belia masa depan pandai imbang ilmu dunia dan agama

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

USAHA memperkasakan golongan belia dengan keutuhan takwa, kemantapan ilmu pengetahuan dan kesantunan akhlak seharusnya dijadikan agenda semua pihak. Kita tidak mahu senario semasa yang sering memaparkan pembabitan mereka dalam kancah negatif.

Belia adalah aset paling berharga negara dan bangsa yang dianggap mampu menjadi ejen perubahan sosial dan pembentuk negara masa depan. Pentingnya golongan muda ini sehinggakan terangkai ungkapan berbunyi, ‘Belia hari ini adalah pemimpin masa depan’.

Islam melihat golongan belia sebagai aset agama yang perlu dididik, dibimbing dan dibentuk daripada segi keutuhan akhlak, kemantapan minda, serta keunggulan sahsiah peribadi.
Islam mengambil berat perihal belia sehinggakan majoriti pendukung gerakan penyebaran Islam pada zaman Rasulullah SAW banyak digerakkan melalui inisiatif belia. Mereka bersama Rasulullah SAW mengibarkan syiar Islam dan meruntuhkan tembok jahiliah yang bersarang dalam masyarakat.

Usaha Rasulullah SAW mendidik mereka dalam acuan iman dan takwa yang padu sehingga golongan ini bersemangat berkorban apa saja, harta, keluarga dan nyawa demi menegakkan kalimah tauhid.

Mereka berlumba dan bersaing melakukan amal ibadah sehinggakan Islam gemilang waktu itu dengan kewujudan golongan mukmin bersatu di bawah panji-panji Islam yang kukuh.

Justeru, nilai takwa seharusnya ada pada diri belia masa kini supaya mampu berdepan sebarang gelombang cabaran zaman yang begitu menghimpit. Contohnya, kepatuhan mengerjakan ibadah solat perlu dijadikan budaya hidup kerana jika solat ditinggalkan, maka akan mudah terjebak pelbagai anasir liar yang terpesong daripada kehendak agama.
Saidina Ali Abi Talib pernah meninggalkan pesan: “Allah memerintahkan kita mendirikan solat dan memberitahu kita bahawa kejayaan itu terletak pada solat.” Mendirikan solat menjadi tiang kepada asas kecemerlangan ummah termasuklah belia.

Elemen kedua perlu dimiliki belia ialah ilmu pengetahuan, bukan saja ilmu keduniaan semata-mata sebaliknya ilmu agama seharusnya diutamakan demi memperkukuhkan kekuatan dalaman. Ada yang berjaya ilmu keduniaan tetapi lemah ilmu agama.

Senario ini perlu diperbetulkan segera kerana tanpa ilmu agama yang mantap seseorang itu akan mudah dibuai gaya hidup kurang bermoral.

Seorang lelaki pernah bertanyakan Syeikh Junaid al-Baghdadi: “Apakah ilmu yang paling berguna? Lalu dijawabnya: Ilmu yang menunjukkan kamu kepada Allah dan menjauhkan kamu daripada menurut hawa nafsumu. Beliau seterusnya menyambung: Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang menunjukkan pemiliknya kepada sifat tawaduk, sentiasa bermujahadah, menjaga hati, menjaga anggota zahir daripada melakukan maksiat, takut kepada Allah, berpaling daripada dunia dan penuntut dunia, menjauhi orang yang mengasihi dunia, meninggalkan apa yang ada di dunia kepada ahli dunia, suka memberi nasihat kepada makhluk, baik perilaku terhadap makhluk, suka duduk bersama golongan fuqaha, memuliakan kekasih Allah, dan menghadapkan diri kepada apa yang mereka utamakan.”

Penerangan panjang ini bermanfaat buat kita renungi kerana apa dikatakan ibarat penyuluh kepada operasi memperoleh ilmu supaya mampu memperseimbangkan kepentingan ilmu dunia dan akhirat.

Satu lagi unsur diri yang penting kepada setiap mukmin khususnya belia ialah akhlak murni. Tinggi mana sekalipun ilmu diperoleh tetapi jika pemiliknya berakhlak buruk, ia akan memberi impak negatif kepada diri juga masyarakat dan negara keseluruhannya.

Ingatlah apa yang pernah diluahkan Saidina Ali: “Setengah pintar yang disertai sifat tawaduk (rendah hati) lebih disenangi oleh hati manusia dan lebih bermanfaat bagi masyarakat dibandingkan dengan kecerdasan dan kepandaian tinggi yang disertai kesombongan.”

Imam Bukhari turut mengingatkan aspek akhlak: “Seorang mukmin sejati memiliki keperibadian unggul. Dia dapat menghimpunkan dalam dirinya segala sifat kebaikan. Dia berilmu, penyantun, penyabar, kuat, berani, pemurah, menjaga kehormatan diri, sanggup berjuang di jalan Allah.”

Belia perlu memiliki pakej diri meliputi ketakwaan, ilmu dan sahsiah peribadi hebat sebagai bekalan menghadapi cabaran zaman yang semakin ‘bergelora’ dengan aneka gejala negatif yang menghanyutkan.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url