KDN Haramkan Penerbitan Buku Tulisan Irshad Manji


Kementerian Dalam Negeri mengharamkan penerbitan buku tulisan Irshad Manji bertajuk 'Allah, Kebebasan dan Cinta' dan versi Bahasa Inggeris 'Allah, Liberty and Love' kerana mengelirukan orang awam dan menyalahi syariah yang ditetapkan dalam al-Quran dan hadis.

Timbalan Menterinya, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, perintah larangan itu dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 kerana kandungannya 'boleh menggemparkan fikiran orang ramai dan memudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam.'

Buku itu diharamkan selepas kementerian menerima laporan dan ulasan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), katanya.

"Antaranya, pandangan terhadap perkahwinan campur antara Muslim dan bukan Muslim sebagai sesuatu yang harus dan pemahaman ini boleh menjurus kepada pluralisme," katanya dalam kenyataan di sini Khamis.

Beliau berkata, buku itu juga mengandungi unsur penghinaan terhadap Rasulullah SAW yang digambarkan dalam keadaan yang boleh mencemar kesucian agama Islam.

Selain itu, katanya, buku itu juga mempertahankan fahaman sekularisme dengan mencampuradukkan dengan nilai-nilai akidah.

"Ia turut memberikan penerangan terhadap pelaksanaan kewajipan solat fardu lima waktu yang boleh didirikan dalam pelbagai pergerakan dan bahasa malah lebih dari lima kali sehari," katanya.

Abu Seman berkata, kenyataan ini boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang awam terhadap kewajipan menunaikan solat fardu lima waktu.

Buku ini juga menyeru kepada logik akal semata-mata dalam ijtihad dan penolakan konsep ijmak yang dikhuatiri akan menggalakkan interpretasi hukum-hukum agama yang tidak berpegang kepada nas-nas al-Quran dan al-hadis.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url