Praktik amalan sunat sebelum tiba Ramadan
Ia dinamakan Rejab kerana orang Arab pada zaman jahiliah memuliakan bulan ini lantas mengharamkan apa juga bentuk peperangan.
Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah ketika Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati.
Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang bertakwa.” (Surah at-Taubah, ayat 36)
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu seperti mana saat Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada dua belas bulan. Empat di antaranya ialah bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut, iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam. Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak di antara Jamadilakhir dan Syaaban.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Adalah masyhur dalam kalangan masyarakat disunatkan untuk berpuasa pada hari pertama Rejab, Khamis minggu pertama Rejab, 15 Rejab dan 27 Rejab sempena Israk Mikraj.
Selain itu, ada juga yang mengamalkan berpuasa berterusan selama tiga bulan iaitu pada Rejab, Syaaban dan Ramadan.
Imam Ibnul Qayyim berkata: “Rasulullah tidak berpuasa pada tiga bulan itu secara terus menerus seperti dilakukan sebahagian orang dan Baginda sama sekali tidak berpuasa pada Rejab dan Baginda pun tidak menggalakkan berpuasa pada Rejab. Bahkan diriwayatkan bahawa baginda melarang berpuasa pada Rejab seperti diriwayatkan oleh Ibnu Majah.”
Walaupun begitu jika seseorang itu berpuasa pada Rejab tanpa niat mengagungkan bulan berkenaan tetapi berpuasa bertepatan dengan hari disunatkan berpuasa seperti Isnin dan Khamis atau puasa Nabi Daud (puasa selang sehari) pada Rejab, maka puasa sebegini dibenarkan syarak.
Ada juga pandangan bahawa pada Rejab disunatkan untuk mengerjakan ibadat umrah. Namun begitu, menurut Aisyah, Rasulullah SAW tidak pernah mengerjakan atau menganjurkan umrah untuk dikerjakan pada Rejab.
Tarikh 27 Rejab dikaitkan dengan Israk dan Mikraj dan pelbagai program diatur bagi mengingati peristiwa itu.
Ia adalah usaha murni untuk mengingatkan kembali umat Islam supaya mengambil pengajaran daripadanya.
Banyak amalan sunat umum belum kita amalkan boleh dipraktikkan pada Rejab sebagai persediaan menanti kedatangan Ramadan dengan membanyakkan solat malam, puasa sunat Isnin dan Khamis serta tadarus al-Quran.
- BERITA MINGGU