Blogger Fesyen Wanita
MENULIS merupakan profesion impian Jezmine Zaidan, 28. Selepas tamat pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor pada tahun 2008, beliau tidak menunggu lama untuk menggapai cita-cita tersebut.
Majalah fesyen dan kecantikan berbahasa Inggeris menjadi tapak kerjaya pertamanya. Namun, dalam kesibukan wanita yang berasal dari Kuching, Sarawak itu membina kerjaya baharunya beliau mula berjinak-jinak dengan dunia blog.
Daripada bertatih sehingga mampu berdiri, pengetahuan Jezmine terhadap bisnes blog berkembang pantas. Selepas hampir dua tahun berkecimpung sebagai penulis, beliau tekad melepaskan posisi itu demi meneruskan perniagaan dalam talian yang kian maju.
Pakaian yang dijual Jezmine ketika itu difokuskan pada konsep vintaj. Hampir 70 peratus pelanggannya merupakan wanita berketurunan Cina dan mereka yang meminati stail moden klasik.
Kesungguhan yang ditonjolkan Jezmine mendapat sokongan penuh ibu bapanya, malah mereka menyarankan beliau membuka butik.
“Pada mulanya berniaga menerusi blog ini hanya sampingan. Melihatkan pendapatan yang saya jana melebihi gaji yang saya terima sewaktu bekerja sebagai penulis sebelum ini membuatkan saya terfikir untuk pergi lebih jauh.
“Jadi selepas segala-galanya kukuh, saya membuka butik pada penghujung tahun 2009. Memiliki butik sendiri adalah impian hampir semua blogger.
“Alhamdulillah, berkat kerja keras dengan bantuan keluarga dan sahabat impian saya untuk memi sendiri menjadi kenyataan,” ujar Jezmine yang menamakan butiknya The Old Blossom Box Store.
Kemas kini blog
Walaupun sudah membuka butik, Jezmine tidak pernah berhenti mengemaskini blognya. Menurut beliau, rutin itu penting bagi berkomunikasi dengan sahabat blogger lain dan bertindak sebagai medium informasi dengan pelanggannya.
“Blog tempat paling mudah untuk mengumumkan sesuatu. Jika terdapat sebarang peraduan, aktiviti, diskaun, item baharu dan apa sahaja berkaitan butik saya akan sampaikan menerusi blog.
“Selain itu, saya juga memuat naik gambar-gambar saya bersama koleksi baharu dan menunjukkan cara-cara menyuaipadankannya,” tambah Jezmine.
Bagi Sara Shahnor, 30, pengalamannya dalam bidang perniagaan menerusi blog masih hijau. Lewat tahun 2010, beliau dan rakannya, Amalina Hanisah Mohd. Amin, 28, menubuhkan Ammara Hijabi.
Fasa awal perniagaan mereka amat sukar. Sara dan Amalina perlu bersaing dengan blogger-blogger lain yang turut menjual item yang hampir sama. Dalam kepayahan itu, mereka akhirnya mampu menyerlah berbekalkan rantaian formula yang berkesan.
“Ada orang menjadikan bisnes blog ini sebagai sampingan dan tidak memikirkan pelan jangka panjang. Kami berdua mahu perniagaan ini bertahan untuk tempoh yang lama, jadi perancangan rapi itu amat diperlukan.
“Pengetahuan tentang bajet, keusahawanan, rancangan kewangan dan pengurusan masalah perlu dikuasai. Formula paling utama ialah keaslian,” jelas Sara yang berasal dari Bangi, Selangor.
Amalina menyambung: “Keunikan dan keistimewaan menjadi pemisah antara kita dengan blogger lain. Dalam dunia blog, kita boleh mengesan siapa meniru idea orang dan siapa yang tampil dengan konsep tersendiri.
“Disebabkan itu, kami perlu sentiasa menawarkan elemen baharu kepada pelanggan dan menggunakan semua jenis laman sosial. Facebook, Twitter dan Tumblr antara ruang maya yang kami gunakan.”
Sejak awal penglibatan, Sara dan Amalina telah mengkhusus dalam perniagaan busana Muslimah. Wanita bertudung dan mereka yang mahukan gaya sopan menjadi sasaran utama.
Hampir 90 peratus pelanggan mereka ialah wanita berhijab. Item kegemaran pengikut blog dua wanita itu pula ialah turban segera. Dominasi penutup kepala itu dalam membentuk gaya Muslimah moden hari ini telah membuka dimensi berbeza.
Rombak konsep
Turban bertambah popular lebih-lebih lagi dengan adanya koleksi keluaran Ammara Hijabi. Selain mudah dipakai, ia juga menerbitkan aura glamor biarpun berciri kasual.
“Sesetengah turban kami dibawa dari Indonesia. Ia sesuai digayakan kaum Hawa yang berumur antara 19 sehingga 30 tahun. Pakaian Muslimah lain pula boleh ditempah mengikut cita rasa masing-masing. Kesemua barangan dijual pada harga antara RM30 sehingga RM250,” kata Amalina.
Sementara itu, kata Jezmine, seiring dengan usia butiknya yang hampir mencecah tiga tahun, beliau mula merombak konsep item jualannya. Dahulu sasaran hanya kepada wanita tidak bertudung, kini ia telah berubah.
Kelahiran pelbagai trend pakaian Muslimah menjurus Jezmine untuk berubah angin. Walaupun berdepan dengan risiko, namun hasilnya amat mengejutkan. Permintaan pakaian wanita berciri sopan melonjak secara drastik dan ia terus meningkat.
Menurut beliau, wanita bertudung kian bijak berfesyen dan berani bereksperimen dengan gaya moden. Baju kurung bukan lagi pakaian rasmi wanita Melayu Muslim, sebaliknya mereka mula menukar selera kepada seluar dan blaus yang sopan.
“Pakaian yang dijual masih menutup aurat dan saya menghormati pegangan itu. Tetapi tidak bermakna mereka tidak boleh melaram dengan blaus yang dilengkapi perincian menarik dan seluar panjang berona terang.
“Saya cuba menyuntik elemen humor dan ceria agar karakter si pemakai dapat diserlahkan. Corak polka dot pula menegaskan jiwa muda seorang perempuan. Tiada had umur ditetapkan, malah ia sesuai untuk kelompok pelajar sehingga golongan ibu.
“Material yang saya gunakan pula banyak daripada jenis sifon, kapas dan jersi. Mainan warna pula diutamakan pada palet pastel dan tidak lupa warna-warni,” ucap Jezmine yang ditemui bersama Sara dan Amalina di butiknya di Shah Alam baru-baru ini.
- KOSMO!