Kempen semak pemilih Jun 2012
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata kempen 1 hingga 30 Jun itu bagi meningkatkan kesedaran pentingnya pemilih menyemak status masing-masing sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
“Kempen itu memberi lebih banyak ruang kepada pemilih membuat semakan dan mengemas kini maklumat pendaftaran masing-masing jika terdapat sebarang kesilapan dan ketidaktepatan,” katanya dalam kenyataan, di Putrajaya, semalam.
Beliau berkata, kempen itu juga sebahagian usaha SPR dengan bantuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membersihkan lagi daftar pemilih dan kerjasama pemilih amat diperlukan bagi memastikan segala maklumat pendaftaran mereka tepat dan betul.
“Hanya pemilih yang boleh memohon menukar butiran diri masing-masing dalam daftar pemilih. SPR tidak dapat membetulkan apa-apa kesilapan tanpa pemilih sendiri memaklumkannya kepada SPR mengikut peraturan dan prosedur ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, jika ada kesilapan data dalam senarai daftar pemilih seperti tiada nama dalam senarai, pertukaran alamat tidak diketahui dan sebagainya, pemilih boleh membuat aduan kepada SPR melalui Sistem Aduan pada laman web di www.spr.gov.my.
Katanya, mereka juga boleh menghubungi Pusat Panggilan SPR di 03-88856565 atau melalui faks di 03-8889112, menulis surat atau datang sendiri ke Ibu Pejabat SPR di Putrajaya atau mana-mana pejabat Pilihan Raya Negeri dengan segera.
Abdul Aziz berkata, SPR juga akan membuka kaunter pendaftaran pemilih untuk permohonan pendaftaran baru dan pertukaran alamat pusat mengundi di Ibu Pejabat SPR dan Pejabat Pilihan Raya Negeri.
Beliau berkata, bagi pemilih berdaftar yang sudah bertukar alamat tempat bermastautin dan menukar alamat di kad pengenalan di JPN, mereka boleh membuat permohonan pertukaran alamat pusat mengundi kepada SPR.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, berkata Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang bertugas memantau kempen pilihan raya akan ditubuhkan di setiap 222 kawasan Parlimen di seluruh negara bagi memastikan undang-undang berkempen dipatuhi.
“PP-KPR akan dianggotai pegawai SPR, pegawai polis berpangkat Inspektor, pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil setiap parti politik yang bertanding. Bidang tugas PP-KPR adalah memastikan garis panduan berkempen dipatuhi setiap parti politik,” katanya.
Katanya, karikatur wajah pemimpin atau calon dilarang dijadikan bahan kempen pilihan raya.
- BERITA HARIAN