Keputusan EURO 2012 : Croatia 0 Sepanyol 1 (Kumpulan C) Sepanyol layak ke Suku Akhir



SEPANYOL muncul juara Kumpulan C apabila mengatasi Croatia 1-0 dalam perlawanan terakhir saingan kumpulan, Euro 2012 di Stadium Arena, Gdansk.

Gol dihasilkan oleh Xavi Hernandez pada minit ke-88 permainan. Pertahanan Croatia menyangkakan dia telah berada dalam kedudukan ofsaid tetapi malangnya, gol itu telah diiktiraf pengadil.

Penguasaan bola kedua-dua pasukan amat seimbang ketika awal minit permainan, malah sangat berhati-hati. Sepanyol dan Croatia saling berbalas serangan namun tiada sebarang jaringan dapat dihasilkan.

Fernando Torres, Andres Iniesta dan David Silva masing-masing melakukan satu percubaan tepat ke gawang Croatia, tetapi berjaya dipatahkan penjaga gawang, Stipe Pletikosa dengan begitu cemerlang.

Sejurus selepas itu, dua pertahanan Sepanyol, Sergio Ramos dan Gerard Pique mencuba nasib apabila merembat kencang bola dari luar kotak penalti dan melepasi palang gol Croatia.

Croatia jarang sekali menguji gawang Sepanyol yang dikawal oleh Kapten Iker Casillas serta dibantu dengan kekebalan benteng Sepanyol.

Begitu pun, secara keseluruhannya, skuad La Roja lebih banyak menguasai tempo permainan dengan melakukan hantaran bola yang tepat sepanjang babak pertama perlawanan.

Bersambung di babak kedua, Croatia mula mengatur serangan untuk mencari gol sulung. Mereka berjaya memperoleh peluang terbaik apabila Ivan Rakitic menanduk bola hasil lambungan dari Modric tetapi dapat ditepis oleh Casillas pada minit ke-59. Ia sekaligus mengecewakan penyokong-penyokong Croatia.

Keresahan jelas terpancar di wajah Slaven Bilic dan para penyokong mereka apabila Itali mendahului Ireland 2-0 di Poznan. Croatia melancarkan serangan bertubi-tubi, namun usaha mereka mencapai kegagalan sekali gus memaksa mereka mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan ini

Juara bertahan 2008 itu meneruskan rentak cemerlang selepas membelasah Republik Ireland 4-0 pada perlawanan kedua kumpulan.

Pada perlawanan pembukaan mereka seri 1-1 dengan Itali. Mereka juga mencatatkan rekod tanpa kalah bersama Jerman dalam kejohanan edisi kali ini.

Pada perlawanan pembukaan, Croatia menewaskan Ireland 3-1 dan seri dengan Itali 1-1 pada perlawanan kedua serta berkongsi empat mata dengan Sepanyol.

Di atas kertas, kedudukan Sepanyol dilihat selesa dan perlu mencatat sekurang-kurangnya keputusan seri.

Kali terakhir mereka bertemu ialah sebelum Piala Dunia 2006, Sepanyol menumpaskan Croatia 2-1 dalam perlawanan persahabatan. Ketika itu, Sepanyol dibimbing oleh bekas jurulatih, Luis Aragones.



Sekilas fakta perlawanan:

- Keputusan semasa: (0) Croatia (1) Sepanyol

- Penguasaan bola: (35%) Croatia (65%) Sepanyol

- Percubaan ke arah gawang: (5)Croatia (13) Sepanyol

- Sepakan sudut: (4) Croatia (11) Sepanyol

- Kad kuning: Vedran Corluka, Darijo Srna, Mario Mandzukic, Ivan Rakitic, Nikica Jelavic (Croatia)



Barisan pemain Croatia:

1. Stipe Pletikosa
2. Ivan Strinic
5. Vedran Corluka
13. Gordon Schildenfeld
21. Domagoj Vida
6. Danijel Pranjic
7. Ivan Rakitic
8. Ognjen Vukojevic
10. Luka Modric
11. Darijo Srna (k)
17. Mario Mandzukic


Barisan pemain Sepanyol:

1. Iker Casillas (k)
3. Gerard Pique
15. Sergio Ramos
17. Alvaro Arbeloa
18. Jordi Alba
6. Andres Iniesta
8. Xavi Hernandez
14. Xabi Alonso
16. Sergio Busquets
21. David Silva
9. Fernando Torres

- SINAR HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url