Pendakwaan dalam masa 90 hari
Perbicaraan pantas melibatkan kesalahan kes membabitkan hukuman penjara maksimum 10 tahun mengikut Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan 2012) dan ia juga tidak melibatkan kes jenayah seksual dan kanak-kanak.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perundangan dan Siasatan Bukit Aman, Datuk Razali Basri berkata, semua pegawai penyiasat dan penyelia siasatan sedang diberi pemahaman dan pendedahan bagi mengendalikan siasatan untuk kes-kes perbicaraan ini.
"Melalui perbicaraan pantas ini, ia akan menjimatkan masa di mana kes-kes tertentu tidak perlu melalui tempoh perbicaraan yang lama di mahkamah.
"Konsep perbicaraan pantas ini telah dilaksanakan dan berhasil di negara Barat seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom," katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Polis PDRM di Jalan Raja Muda, Kangar.
Pada Mei lalu, Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan 2012) yang antara lain bertujuan melengkapi Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 yang diwujudkan bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.
Razali berkata, kumpulan pertama melibatkan 80 pegawai penyiasat dan penyelia siasatan dari Zon Utara iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang telah menyertai Seminar Siasatan dan Pendakwaan yang diadakan di Kangar selama dua hari mulai hari ini.
Katanya, seminar seterusnya akan diadakan di lima lagi zon iaitu di Kuching, Sarawak pada 5 dan 6 Julai, Zon Selatan iaitu Johor Bahru dan Melaka, Negeri Sembilan pada 12 dan 13 Julai, 17 dan 18 Julai di Zon Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu dan diikuti Zon Tengah iaitu Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Bukit Aman yang belum ditetapkan tarikh.
Razali berkata, menerusi perbicaraan pantas, akan berlaku proses praperbicaraan iaitu perbincangan antara tertuduh yang diwakili peguam lantikan sendiri atau dari Jabatan Bantuan Guaman bersama pegawai penyiasat dari PDRM.
Selain itu katanya, tertuduh akan diberi peluang untuk membuat pengakuan bersalah bagi kesalahan tertentu sahaja di mana hukuman yang dikenakan ke atasnya juga akan diringankan.
- UTUSAN