Rahsia Rozita Ibrahim Sendayu Tinggi



SEKALI pandang, pinggangnya yang ramping dengan bentuk tubuh menarik tidak menggambarkan usia sebenar pemilik nama Rozita Ibrahim, yang juga pengasas produk kecantikan dan kesihatan, Sendayu Tinggi.

Pada usianya yang menjangkau 47 tahun dan mempunyai lapan anak, Rozita memiliki susuk tubuh yang mampu menimbulkan rasa cemburu dalam kalangan anak dara.

Seorang yang sangat berdedikasi dalam membina empayar perniagaan, wanita ini sanggup bersengkang mata dan hanya tidur tiga jam setiap malam untuk menghasilkan formulasi produk kecantikan dan kesihatan terbarunya, Jamu Ratu Malaya.

Sebagai Pengarah Urusan Sendayu Tinggi Holdings Sdn Bhd dan Jamu Ratu Malaya Sdn Bhd, dia tidak pernah menjadikan kesibukan menguruskan dua syarikat sebagai alasan untuk mengabaikan kesihatan dan kecantikan, malah begitu teliti dalam pemilihan makanan yang berkhasiat dan berkualiti.

Dia memegang prinsip enggan memikirkan sebarang masalah yang datang, sebaliknya lebih cenderung untuk mencari penyelesaian serta menguruskan masalah terbabit.


Baginya, pengurusan masalah adalah lebih penting berbanding risau mengenainya kerana kerisauan mampu membuatkan wajah kelihatan suram seterusnya boleh menyumbang kepada penuaan.

“Saya tidak suka memikirkan masalah kerana pada saya masalah tetap akan datang kepada kita, tetapi cara menguruskannya lebih penting,” katanya.

Rozita juga percaya masalah adalah sebahagian daripada kehidupan dan tidak menjadikannya satu elemen yang boleh merosakkan kecantikan seseorang apabila terlalu memikirkannya.

Menurutnya, amalan menjaga kecantikan penting kerana ia mampu menjaga diri seseorang wanita dan membantunya kelihatan awet muda.

“Siapa yang tidak mahu kelihatan cantik dan mengapa wanita selalunya mahu tampil cantik? Ini kerana apabila dia lihat wanita lain yang seusia dengannya, tetapi masih cantik, dia pun mahu cantik juga kerana ia naluri wanita.

“Selain itu, menjaga kecantikan penting kepada golongan wanita kerana mereka mahu suami menjadi lebih sayang.

“Bukan sekadar menjaga makan minum suami, wanita juga perlu pandai menjaga diri sendiri untuk kelihatan anggun dan awet muda selain sihat demi kebahagiaan bersama,” katanya.

Melalui rutin penjagaan kesihatan dan kecantikan, dia mengamalkan pemakanan jamu, mengambil makanan tambahan lain termasuk vitamin dan sanggup memperuntukkan sehingga RM2,000 sebulan bagi tujuan berkenaan.

Selain menjual produk kesihatan kepada pelanggan, dia turut mengamalkannya melalui pengambilan makanan tambahan kesihatan seperti spirulina dan gingko keluaran Sendayu Tinggi.

“Saya juga berpantang makan dan tidak sewenang-wenangnya mengambil makanan manis kerana tidak mahu merosakkan kesihatan saya. Saya bersyukur sehingga kini saya masih sihat dan terhindar daripada penyakit.

“Saya pernah berdoa ketika susah dulu sekiranya Allah mengurniakan rezeki kepada saya, saya hanya mahu makan makanan yang berkualiti dan itulah yang saya amalkan sekarang,” katanya.

Demi menjaga tubuh dan memberi tenaga, Rozita menghindari nasi sejuk, sebaliknya hanya makan nasi yang baru dimasak dan masih dalam keadaan panas.

Menurutnya, kehidupan sebenarnya memberi kita dua jalan pilihan, satu yang buruk manakala satu yang baik, maka terpulang kepada diri sendiri untuk memilih mana yang disukai.

“Tiada istilah memaksa dalam hidup ini kerana kita diberi pilihan. Terpulang pada diri sendiri sama ada ingin yang baik atau yang buruk kerana tidak ada yang memaksa atau menahan kita daripada melakukan sesuatu.

“Bagi saya, saya hanya mahukan yang terbaik dalam hidup dan berusaha ke arahnya termasuk menggunakan rangkaian produk yang dikeluarkan syarikat untuk menjaga kesihatan diri sendiri,” katanya.

Katanya, usia yang semakin meningkat membuatkannya lebih cerewet dan teliti dalam pemakanan seharian termasuk berpantang dan mengelak makanan yang berangin untuk tubuh.

Di samping itu, dia mengamalkan pengambilan sayur-sayuran hijau dalam pemakanan untuk memberikan zat secukupnya kepada diri.

“Ada wanita yang mengambil mudah soal penjagaan kecantikan dan penampilan diri sedangkan ia sebenarnya amat penting bagi memastikan keharmonian rumah tangga.

“Ada yang sangka suami tidak kisah, tetapi sebenarnya mereka silap kerana suami mengambil berat mengenai penampilan diri.

“Suami memang selalunya tidak menzahirkan apa yang ada dalam fikiran mereka kerana mahu menjaga hati isteri, tetapi wanita sepatutnya sedar mengenai hal ini,” katanya.

Oleh itu, menurutnya, wanita seharusnya menjaga kesihatan dan kecantikan mereka dengan mengamalkan pemakanan berkualiti selain mengamalkan pengambilan jamu, bukan saja untuk penjagaan luaran tetapi juga dalaman.

Sebagai wanita, jika hendak suami bertambah menyayangi diri, mereka perlu menjaga diri sendiri terlebih dulu.

“Selain memberi layanan baik kepada suami, menjaga diri sendiri juga penting kerana secara tidak langsung ia membuatkan suami semakin sayang jika rupa paras menarik.

“Jika wanita boleh menjaga keadaan rumah supaya ia sentiasa dalam keadaan kemas, cantik dan menarik, mengapa tidak menjaga diri sendiri juga?” katanya.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url