Top Ad 728x90

26 Dasar Pengambilan Penjawat Awam Dikaji Semula

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan mengkaji semula 26 dari 593 dasar atau peraturan yang digunapakai dalam menentukan pengambilan penjawat awam bagi memastikan ia sesuai dengan keadaan semasa.

Pengerusi SPA Tan Sri Mahmood Adam berkata 26 dasar itu dipilih kerana ia dianggap tidak mesra rakyat atau pemohon pekerjaan di sektor awam, dan mungkin hanya sesuai pada zaman ia mula-mula dilaksana. "Contohnya ada peraturan yang mengatakan pemohon yang telah berjaya, jika mereka menolak tawaran itu mereka tidak dibenar memohon jawatan itu lagi untuk tiga tahun, tanpa usul periksa. Jadi kami kena siasat kenapa, kemungkinan dia tak sihat atau ada kontrak dengan syarikat lain. Jadi kami cadangkan peraturan yang tak mesra ini dihapuskan.

"Mereka yang dalam tempoh percubaan pula, hukuman tatatertib lebih ringan daripada mereka yang menjadi kaki tangan tetap, jadi ia perlu diselaraskan," katanya selepas perjumpaan dengan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) di pejabatnya di Putrajaya.

Mahmood berkata perkara itu telah dibentang kepada Cuepacs pada pertemuan itu, dan mereka diberi masa untuk mengkaji dan kemudian menyalurkan pandangan serta cadangan mereka mengenai perkara itu kepada SPA. Beliau berkata perbincangan dengan kementerian, jabatan dan pihak berkuasa melantik juga dilakukan bagi menentukan sama ada perkara-perkara itu perlu diubahsuai mengikut peredaran masa atau dihapuskan terus.

Mahmood berkata tiada tempoh masa ditetapkan untuk menyelesaikan kesemua 26 perkara itu, dan ia mungkin diselesaikan satu persatu.

Sehingga keputusan mengenai 26 perkara itu dicapai, peraturan itu masih terpakai dan disesuaikan dari semasa ke semasa, katanya.

Purata permohonan bagi pekerjaan dalam sektor awam ialah 1.1 juta setahun, manakala kekosongan jawatan untuk tahun ini dan tahun depan berdasarkan penjawat awam yang bersara berjumlah 7,000, manakala kekosongan jawatan berdasarkan pengambilan baru atau jawatan baru pula bergantung kepada kementerian dan jabatan.

Sementara itu Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata dua perkara yang tidak dipersetujui Cuepacs ialah dasar yang membenarkan pemegang Ijazah Sarjana Muda memohon jawatan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta membenarkan calon mengemukakan permohonan sehingga 15 jawatan pilihan berbanding lima sebelum ini.

Beliau berkata perkara itu akan dibincang secara menyeluruh di peringkat Cuepacs, dan akan dibentang kepada SPA pada pertemuan berkala yang akan diadakan nanti.

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90