Anak pisang tumbuh dalam buah kelapa


POKOK SENA - Seorang penoreh getah terkejut apabila mendapati anak pokok pisang tumbuh di dalam buah kelapa yang ditemui berhampiran rumahnya di Kampung Lubuk Pak Samad, Bukit Payung di Pokok Sena, Kedah.

Che Mohd. Nor Abd. Rahman, 58 berkata, buah kelapa itu ditemuinya akhir bulan lalu ketika menebas semak di tepi parit untuk membuat pagar berhampiran rumah.

Ujarnya, pada mulanya, dia mahu mencantas tanaman itu, namun tidak jadi kerana ternampak anak pisang yang tumbuh dalam buah kelapa.

"Saya kemudian mengorek tanaman ini dan dipindahkan ke dalam besen bagi melihat perkembangan tumbesarannya.

"Saya juga memanggil beberapa jiran, mereka pelik kerana tidak pernah melihat tanaman berbeza hidup 'bersama'.

"Apabila dibelek pada ekor kelapa itu tumbuh anak pisang manakala pada bahagian kepala tumbuh anak kelapa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Lubuk Pak Samad, Bukit Payung, di sini semalam.

Menurutnya, ketika ini benih pisang itu mempunyai tiga helai daun sementara kelapa itu tumbuh lima helai daun.

"Saya merasakan sukar untuk anak pisang masuk ke dalam kelapa kerana kulitnya keras tetapi mungkin ia boleh menusuk dari dalam kelapa kerana sabut yang lembut.

"Sejak menemuinya kira-kira 200 penduduk kampung dan orang luar datang melihat keganjilan ini. Mereka pelik dan membelek daunnya selain merakamkan gambar," katanya.

Katanya, selepas ini, dia merancang untuk mengalihkan semula tanaman itu ke tanah di tepi parit rumahnya bagi melihat proses pertumbuhannya.

"Saya merasakan usia tanaman itu tiga bulan kerana ketika tempoh itu, baru selesai menabur benih padi dan anaknya ada ternampak kelapa itu tumbuh mata.

"Ada pengunjung yang datang beritahu ia pisang hutan manakala buah itu dari kelapa kampung," katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url