Soal Jawab Agama : Basuh solekan sebelum wuduk

Bersama Dr Salam

SOALAN:

SAYA musykil mengenai solat saya sama ada diterima Allah atau sebaliknya kerana saya mengambil wuduk tanpa mencuci solekan yang ada pada wajah.

Pada mulanya, ada antara kawan saya kata ia dibolehkan kerana yang penting niat, tetapi ada juga yang berkata ia tidak sah kerana air wuduk tidak sampai ke kulit.

Jadi adakah saya betul-betul perlu membersihkan solekan dulu sebelum berwuduk atau adakah cara lain yang membolehkan solat saya diterima kerana pekerjaan saya sebagai kerani memerlukan saya bersolek.

Begitu juga di malam hari, saya perlu bersolek kerana saya menjalankan perniagaan pakaian dan aksesori wanita seperti menjual pakaian wanita Muslimah, tudung dan jubah.

JAWAPAN:

BERWUDUK termasuk salah satu cara bersuci dengan menggunakan air bagi menghilangkan hadas kecil dengan cara-cara tertentu (lihat al-Quran, al-Ma’idah (5): 6).

Apa yang penting dalam berwuduk ialah air sampai ke semua anggota wuduk, contohnya air sampai ke muka apabila membasuhnya, begitu juga dengan kedua-dua tangan sehingga ke siku dan seterusnya. Sekiranya ada halangan dan air tidak sampai ke muka, wuduk itu tidak sah. Bagi wanita yang bersolek, mereka hendaklah memastikan air boleh sampai ke anggota wuduk ketika membasuhnya.

Sekiranya seseorang itu menggunakan jenis solekan yang kalis air (lihat, http://waterproofmineralmakeup.com/), maka hendaklah mencucinya terlebih dulu sebelum berwuduk.

Begitu juga dalam kes anda di atas. Islam tidak menghalang wanita bersolek atau berhias (Arab, Tabarruj). Bagaimanapun, ia hendaklah dalam keadaan sederhana dan tidak bertujuan menarik perhatian orang terutama kaum lelaki.

Ini kerana ia mengundang fitnah pada diri sendiri dan orang di sekeliling yang melihat kita. Berhias untuk suami pula sangat digalakkan kerana dapat merapatkan hubungan suami isteri.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url