Dilema orang kurus, Sukar tambah berat badan
OBESITI sudah kita maklum sejenis gejala milenium baharu yang melanda masyarakat di kebanyakan negara sedang membangun. Seiring kewujudannya dalam kehidupan kini, telah terbentuk satu impak dalam gaya hidup semasa hinggakan media dibanjiri pelbagai iklan untuk menurunkan berat badan.
Fenomena itu menyebabkan ramai pihak semakin bimbang apatah lagi hampir 2.5 juta daripada 28 juta penduduk Malaysia mengalami masalah obesiti.
Seiring keresahan mengenai statistik tersebut, kerajaan terpaksa mengambil pelbagai langkah bagi menanganinya. Ini termasuk usaha menjalankan kempen kesedaran mengenai obesiti dan menyarankan rakyat Malaysia agar mengamalkan gaya hidup yang sihat selain menjaga pemakanan dalam kehidupan seharian mereka.
Namun, di sebalik keprihatinan pelbagai pihak itu, terdapat segelintir golongan yang berasa diri mereka tersisih lantaran kurang mendapat maklumat dan rujukan. Golongan yang dimaksudkan itu ialah mereka yang mengalami masalah fizikal terlalu kurus.
Mereka mengeluh kerana tidak banyak iklan atau maklumat menerusi televisyen, majalah, surat khabar dan radio yang memusatkan perhatian terhadap isu mereka yang sukar menambahkan berat badan.
Paling hampir, lima tahun dahulu, terdapat iklan sebuah produk makanan tambahan khas untuk orang kurus. Mungkin ramai yang masih ingat pada iklan itu yang berjaya menarik perhatian penonton. Ia dilakonkan seorang lelaki kurus memakai cawat sumo yang berusaha untuk menonjolkan dirinya.
Produk itu sedikit sebanyak telah membantu segolongan orang yang kurus untuk menambahkan berat badan. Begitupun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, iklan produk melangsing badan dan meramping pinggang pula yang terlalu mendominasi siaran iklan di media massa.
Bagi seorang pekerja swasta, Norfadilla Senin, 28, dia yang hanya seberat 45 kilogram (kg) mengakui bahawa agak sukar baginya mendapatkan produk untuk menambahkan berat badan.
Bagi anak keempat daripada enak beradik itu, dia bukan tidak bersyukur memiliki bentuk fizikal yang kurus, cuma dia mahu kelihatan lebih 'berisi' sedikit. Begitupun, tidak banyak sumber yang boleh membantunya.
Pernah gagal
Menceritakan dilema yang dialami sejak dia berumur 20 tahun, Norfadilla memberitahu, dia pernah mencari produk untuk menaikkan berat badan namun ia hanya sia-sia. Kegagalan itu membuatkannya hampir berputus asa.
Pada masa yang sama, dia juga tidak pernah mengabaikan pemakanannya malah menurut Norfadilla, dia akan 'makan apa sahaja yang berada di depan mata'.
Katanya, memiliki bentuk badan yang kurus sebenarnya menyebabkan emosinya terganggu, lebih-lebih lagi apabila sering ditegur atau diusik rakan-rakan.
"Saya akan makan empat atau lima kali sehari dan hidangannya berbeza-beza namun berat badan tidak pernah bertambah.
"Sebab itu saya tercari-cari makanan tambahan yang membolehkan badan saya nampak berisi," ujarnya yang mempunyai ketinggian 1.62 meter.
Dengan memiliki badan yang kurus berbanding dengan adik-beradik yang lain, keadaan fizikalnya membuatkan kedua ibu bapa gadis ini tidak berasa bimbang terhadap keadaan dirinya kerana menganggap anak mereka itu sihat.
"Walau bagaimanapun, saya bersyukur kerana tidak menghidap sebarang penyakit," katanya sambil memberitahu, kadangkala dia menjadi rimas dengan teguran beberapa kali mengenai tubuhnya itu.
Sementara itu, bagi seorang pekerja pemprosesan makanan, Siti Farah Adnan, 26, dia tidak terkecuali daripada dilema itu. Begitupun, dia sudah lama tidak ambil peduli terhadap tanggapan negatif daripada rakan-rakannya.
Di sebalik memiliki tubuh badan umpama seorang pelajar yang masih menuntut sekolah menengah, gadis seberat 43kg itu mengakui bahawa dia sering bersabar apabila teman-teman mengusiknya dengan panggilan 'kering'.
Begitupun, gadis yang memiliki ketinggian 1.52 meter menjelaskan bahawa dia semakin lali dengan usikan itu. Dia bagaimanapun tidak patah semangat untuk menambahkan berat badannya.
Untuk itu, dia juga telah mencuba dua hingga tiga produk berbeza yang mendakwa mampu menambahkan berat. Namun, selepas lima tahun, semua produk itu tidak meninggalkan apa-apa kesan perubahan pada fizikalnya.
"Kalau hendak tunggu produk penambah berat badan keluar menerusi iklan akhbar atau televisyen, memang susah.
"Oleh itu, saya terpaksa mencari sendiri produk yang boleh menambahkan berat badan. Cuma, kadangkala saya khuatir sekiranya produk yang dibeli itu tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," ujarnya.
Bagaimanapun, jauh di sudut hati Siti Farah, dia masih memasang niat untuk menambah berat badan.
"Sekiranya saya sakit, berat badan saya akan menyusut lagi. Saya akan kehilangan berat badan hampir 3kg jika demam kerana hilang selera makan. Lebih buruk, sendi saya juga akan berasa sakit.
Menurutnya, jika mahu kembali kepada berat badan yang asal, ia akan mengambil masa lama.
Sehingga hari ini, dia masih berusaha mendapatkan rujukan daripada pakar-pakar kesihatan selain mencari produk kesihatan yang ideal untuk membantunya menangani dilema tersebut.
- KOSMO!