Harimau Malaya kekal pada ranking ke-157 FIFA
Ranking terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menunjukkan mata yang dikumpul skuad Harimau Malaya bimbangan Datuk K. Rajagopal merosot kepada 134 berbanding 130 bulan lalu.
Walaupun skuad negara terlibat dalam dua perlawanan persahabatan dengan pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Arsenal dan Manchester City bulan lalu, ia tidak dikira dalam penilaian mata oleh FIFA.
Senarai kedudukan terkini itu menunjukkan pasukan Harimau Malaya setanding dengan beberapa pasukan seperti Nepal yang berada pada ranking ke-155, Palestin (154) dan Kepulauan Curacao (158).
Dalam kalangan negara Asia Tenggara pula, Malaysia kekal di tempat kelima di belakang Vietnam (120), Thailand (135), Filipina (152) dan Indonesia (156).
Singapura, dengan ranking 162 dunia, berada di belakang Malaysia.
England, yang sebelum ini menghuni tangga keempat, merampas tempat ketiga ranking dunia daripada Uruguay selepas mengumpul 1,294 mata berbanding pasukan dari Amerika Selatan itu dengan 1,236 mata.
Sepanyol dan Jerman masing-masing kekal pada ranking pertama dan kedua dunia.
- BERNAMA