Kembali kepada fitrah
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
KEMERIAHAN suasana Aidilfitri masih tetap dirasakan sehingga hari ini. Kunjung mengunjungi masih lagi dilakukan, sanak-saudara dan rakan taulan berhimpun meraikan hari yang mulia ini. Kanak-kanak pula menjadi penyeri kepada kegembiraan di hari lebaran ini. Kerenah kanak-kanak ini sering menjadi tumpuan orang dewasa yang berkongsi kegembiraan tersebut.
Dari segi bahasanya aid al fitri bermakna kembali kepada fitrah (semula jadi). Kita sebenarnya kembali kepada fitrah kita sendiri iaitu suci dan bebas daripada dosa. Ini adalah disebabkan tatkala Aidilfitri, umat Islam adalah sudah sepatutnya suci daripada dosa kerana Universiti Tarbiyah Ramadan telah membersih segala dosa kita.
Namun tidak kurang juga daripada kita yang kecundang dan gagal mendapat segulung 'ijazah' dari Universiti Tarbiyah Ramadan ini. Ini dapat dilihat apabila mereka juga kembali kepada 'fitrah' mereka. Mereka kembali kepada kehidupan yang penuh dengan dosa, memakan makanan yang tidak tentu halal dan haramnya dan menindas golongan yang lemah.
Golongan ini adalah golongan yang sangat rugi kerana tidak mengambil iktibar daripada ajaran Allah SWT. Segala sifat mahmudah hendaklah diamalkan dan sifat-sifat mazmumah hendaklah ditinggalkan.
Di hari kemenangan ini jangan dilupai golongan yang tidak bernasib baik. Semangat persaudaraan Islam mestilah diutamakan di samping mengeratkan ikatan silaturrahim sesama umat Islam. Ukhuwah dan perpaduan Islam hendaklah diutamakan di kalangan orang Islam. Golongan fakir miskin, orang kelainan upaya, anak-anak yatim dan mualaf walau di mana jua berada haruslah didekati supaya mereka tidak merasa terasing di hari kemenangan ini.
Bagi yang pulang ke kampung, berhati-hatilah di jalan raya. Patuhi peraturan lalu lintas dan utamakan keselamatan. Moga-moga setelah berhari raya kita dapat kembali ke tempat kerja masing-masing dengan selamat. Agama Allah amat memerlukan kita bagi meneruskan perjuangan menegakkan kalimah-Nya di muka bumi ini.
Aidilfitri bukanlah suatu adat semata-mata tetapi merupakan ibadat yang berasaskan kepada sumber hukum yang jelas. Oleh kerana ia adalah suatu ibadat, amatlah molek sekiranya hari besar ini juga dipenuhi dengan ibadat-ibadat yang dituntut oleh Allah.
Bukanlah saya mengatakan tidak boleh berseronok-seronok, tetapi tujuan utamanya untuk mengabdikan diri kepada Allah janganlah dikesampingkan. Ia tidak hanya ziarah menziarahi tetapi mengeratkan silaturrahim, ia tidak hanya berborak-borak tetapi menegakkan syiar dan dakwah Islamiah. Ia bukan juga hanya menyanyi kegembiraan tetapi menambah zikir dan takbir kepada Yang Maha Esa.
Pemborosan dan pembaziran semata-mata bagi menyambut Aidilfitri sebenarnya adalah tergelincir daripada apa yang dianjurkan oleh Islam. Islam menggalakkan umatnya merayakan hari kemenangan ini tetapi dalam sukatan dan kadar yang tidak menjurus kepada pembaziran.
Alangkah baiknya jika wang lebihan itu digunakan bagi manfaat perjuangan Islam, membantu golongan miskin yang memerlukan dan sebagainya ataupun memanfaatkannya untuk tujuan kebaikan.
Sebagaimana lazimnya seperti tahun-tahun yang lalu, bulan Syawal akan dipenuhi dengan program rumah terbuka yang menyajikan pelbagai juadah dan makanan. Malaysia memang kaya dengan pelbagai makanan yang enak dan menarik. Ada kalanya sehinggakan kita tidak dapat memenuhi jemputan yang datang.
Dari sudut pembaziran makananpun sudah cukup menyedihkan kita, apatah lagi jika kita kaji kesan produktiviti, betapa lama masa yang diluangkan menghadiri majlis-majlis berkenaan. Bukanlah tujuan penulis menyanggah apa yang telah dilakukan sekian lama ataupun menyarankan diberhentikan acara rumah terbuka ini tetapi biarlah dalam semua tindakan kita itu dibuat dengan berpada-pada dan tidak sehingga boleh disifatkan sebagai suatu pemborosan. Pemborosan pula adalah saudara kepada syaitan.
- UTUSAN