Top Ad 728x90

Serangan paru-paru (COPD)

Satu kaji selidik epidemiologi dan kesan COPD di Asia (Epic) yang dijalankan oleh Takeda, sebuah syarikat farmaseutikal global mendapati kira-kira lima peratus daripada kalangan penduduk negara ini yang berusia 40 tahun ke atas menghidapi COPD.

Bagi yang baru mendengar tentang COPD, ia adalah sejenis penyakit paru-paru kronik di mana pernafasan tersekat akibat kerosakan dan radang dalam paru-paru.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ia merupakan masalah kesihatan utama dengan kira-kira 65 juta orang di seluruh dunia menghidapinya.

Malah COPD kini merupakan punca kematian kelima paling utama dunia dan WHO meramalkan ia akan meningkat menjelang 2030.

Di Asia pula ia dianggarkan dialami oleh 3.8 peratus daripada penduduknya tetapi kekal sebagai penyakit yang kurang disahkan dan rawatannya juga kurang optimum.

Jejas kualiti hidup

Kaji selidik Epic itu juga memberi penekanan terhadap kesan sosiologi serta sosioekonomi yang dialami oleh penghidapnya.

Di Malaysia lebih tiga daripada 10 responden hanya bekerja separuh masa atau langsung tidak dapat bekerja kerana penyakit yang dihadapi.

Di kalangan mereka yang bekerja sambilan pula, enam daripada 10 pernah tidak hadir ke tempat kerja kerana COPD yang dialami sejak 12 bulan lalu.

Pengarah Institut Perubatan Pernafasan Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr. Abdul Razak Abdul Muttalif, berkata, COPD boleh menjadikan seseorang pesakit itu sukar melakukan kegiatan harian biasa seperti kerja rumah dan mandi.

“Meskipun ia bergantung kepada tahap keseriusan penyakit tersebut, apa yang pasti ia sudah tentu menjadi penghalang kepada keupayaan untuk bekerja apabila penyakit yang dihidapi menjadi bertambah teruk.

“Seringkali kita dapati pesakit COPD mengambil keputusan tidak keluar rumah kerana merasa sukar untuk menjalani kehidupan normal," jelasnya.

Katanya, beban COPD menjadi semakin meningkat apabila pesakit mengalami serangan paru-paru.

Serangan paru-paru COPD atau keadaan di mana penyakit bertambah teruk adalah aspek COPD yang paling memudaratkan.

Antara gejala yang lazim berlaku pada tahap ini termasuk batuk pada waktu siang dan pengeluaran kahak apabila batuk.

“Serangan paru-paru COPD dikaitkan dengan radang saluran pernafasan dan sistemik perubahan fisiologi dalam paru-paru.

“Ini termasuk sesak nafas dan batuk kronik, pengeluaran mukus, kelesuan yang amat sangat dan ada wujud tanda-tanda kemerosotan kesihatan lain.

“Serangan paru-paru COPD juga merupakan punca kemasukan hospital yang utama dan ia boleh menyebabkan kadar penyakit dan kematian yang tinggi," ujar beliau.

Beliau menambah data pada kaji selidik memang amat diperlukan bagi membantu pihak profesional penjagaan kesihatan mengesahkan diagnosis dan menguruskan COPD dengan lebih berkesan.

Pengurusan COPD

Sementara itu, Ketua Unit Pernafasan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Profesor Dr. Roslina Abdul Manap berkata, rawatan dan pengetahuan tentang COPD telah berkembang maju dalam beberapa tahun ini.

“Kami sedar bahawa serangan paru-paru COPD meningkatkan kadar kesakitan dan kematian pesakit.

“Sehingga kini banyak ubat COPD dihasilkan memberi penumpuan untuk melegakan gejala.

“Satu kajian Inisiatif Global Bagi Penyakit Paru-Paru Obstruktif Kronik (GOLD) juga telah menekankan betapa pentingnya mengurangkan risiko penyakit COPD daripada bertambah kronik.

“Roflumilast ialah sejenis rawatan kelas baru steroid dan ia menyediakan pendekatan baru yang boleh menambah baik cara kami merawat COPD sekarang," katanya yang juga merupakan Presiden Persatuan Thoracic Malaysia.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90