Blogger Yuyu Zulaikha 'gila' muzik hard rock


Oleh LYNN / ABDUL RAZAK LATIF

MELIHATKAN raut wajahnya, pasti ramai tidak menyangka gadis kecil molek yang berasal dari Pulau Langkawi, Kedah ini begitu meminati muzik hard rock terutama dari kumpulan Oliver Side.

Jika ramai antara kita yang beranggapan muzik sebegitu membingitkan telinga, lain pula bagi Asmidayu Zulaikha Eswan atau lebih dikenali sebagai Yuyu Zulaikha, 23.

Akui pemilik blog http://kupukupukecik.blogspot.com itu, jika dia berada dalam keadaan tertekan dia gemar mendengar muzik sebegitu sebagai cara untuk menghilangkan bebanan yang ditanggungnya sebagai mahasiswa.

Jom ikuti temu bual bersama penuntut tahun akhir ijazah sarjana muda dalam jurusan Kewangan Islam (Perbankan) di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) di Bangi, Selangor.

Perjalanan dunia blog Yuyu Zulaikha?

YUYU ZULAIKHA: Sebenarnya, sudah lama saya terlibat dalam dunia blog ini. Bagaimanapun, pada awal pembabitan tersebut sekitar tahun 2008 dan 2009, blog saya tidak begitu dikenali. Pada ketika itu, blog itu adalah ibarat diari kepada saya. Membaca blog-blog lain memberi inspirasi kepada diri saya. Bagaimanapun, saya percaya bahawa menjadi diri sendiri adalah penting dalam dunia blogging ini. Saya bertatih untuk membina nama dalam dunia blogging ini, bagaimanapun sokongan pengikut-pengikut 'kupukupukecik.blogspot.com' yang menjadikan Yuyu Zulaikha pada hari ini. Terima kasih juga kepada abang Ben Ashaari kerana mengajar saya untuk mencari duit poket lebih melalui blog.

Kenapa memilih untuk menggunakan nama Yuyu Zulaikha?

Di dunia nyata, sebenarnya ramai orang memanggil saya dengan panggilan Ayu. Tapi saya ada seorang kawan yang bernama Lulu. Dia kata nak panggil saya Yuyu. Entah bagaimana, lekat pula nama itu sehingga hari ini.

Siapa Yuyu Zulaikha yang sebenarnya?

Ramai pengikut-pengikut di blog mengetahui tinggi saya hanya 140 sentimeter sahaja tapi mungkin mereka tidak tahu berat saya 32 kilogram. Paling berat saya pernah capai adalah 38 kilogram itu pun semasa zaman persekolahan. Kalau keluar membeli-belah pula, saya ada satu perangai nak beli barang-barang murah sahaja. Jangan tak tahu, kebanyakan pakaian saya tidak berjenama dan dibeli pada harga kurang daripada RM30 sahaja. Pada masa lapang pula, saya suka membaca buku-buku motivasi terutama daripada penulis Paulo Coelho.

Bagaimana Yuyu Zulaikha mendapat parut di dahi?

Ketika kejadian itu, saya baru berusia lapan tahun. Masa itu, saya bersama tiga rakan lain hendak bermain masak-masak tetapi saya dan seorang lagi rakan berebut nak memegang watak emak. Maka, berlakulah pergaduhan antara kami kerana masing-masing tidak mahu mengalah. Dipendekkan cerita, nak mengelak daripada dibaling batu saya tidak sedar terdapat tiang di hadapan. Disebabkan saya tidak ke hospital, jadilah parut macam ini.

Kenapa Yuyu Zulaikha dah jarang kemaskini blog?

Memandangkan saya berada di semester akhir, jadi tumpuan penuh harus diberi kepada pelajaran. Walaupun bermacam-macam idea yang bermain-main di kepala, saya terpaksa mendisiplinkan diri. Walaupun begitu, saya sentiasa mengingati pengikut-pengikut blog kupukupukecik.blogspot.com yang tidak pernah jemu menantikan post terbaru daripada saya. Malah, dalam masa terdekat ini saya merancang ingin mengadakan pertemuan dengan pengikut-pengikut blog kerana saya juga ingin mengenali mereka yang banyak menyokong saya selama ini.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url