20,000 guru mohon bertukar sekolah pada 2012
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kementerian berkenaan sentiasa memberi perhatian terhadap permohonan tersebut namun ia tidak dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat kerana jumlahnya terlalu banyak.
"Masalah yang kita hadapi adalah pemahaman mengenai pertukaran guru. Tahun ini sahaja kita dapat hampir 20,000 permohonan. Yang mahu balik ke Kelantan sahaja sebanyak 2,898 orang sedangkan yang memohon untuk keluar dari Kelantan hanya 130 orang.
"Tolong nasihat saya macam mana hendak selesaikan masalah ini. Setiap tahun 10,000 sehingga 20,000 permohonan untuk berpindah bukan sahaja hendak balik ke Kelantan, orang Johor juga hendak balik ke Johor, orang Sabah dan Sarawak bertanya kenapa mereka dihantar ke Semenanjung," katanya.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian semasa berucap pada Himpunan Guru Muda 1Malaysia di Kota Bharu semalam.
Turut hadir isteri beliau, Puan Seri Norainee Abdul Rahman serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
- KOSMO!