Heliza Helmi masih solo, mahu terus nikah
Dengan statusnya sebagai seorang artis wanita bertudung sejak awal kemunculannya, Heliza juga jarang dikaitkan dengan gosip-gosip hangat terutamanya membabitkan hubungan dengan lelaki.
Bagaimanapun, lumrah menempuhi kehidupan sebagai seorang artis yang cantik dan menjadi perhatian umum, ternyata Heliza tidak mampu mengelak daripada dikaitkan dengan kisah kontroversi.
Antara yang menarik perhatian ramai apabila dirinya dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan seorang VIP bergelar Datuk sehingga ditaja untuk menubuhkan sebuah syarikat yang diberi nama Heliza Helmi Production.
Tidak mahu orang ramai terutamanya peminat terus-menerus memberikan sebarang persepsi yang negatif, Heliza dengan tegas menyatakan individu yang dimaksudkan itu sekadar rakan niaga dan tidak pernah menaja syarikatnya itu.
"Saya sedar selama ini ramai yang salah sangka dan ada yang menganggap saya telah ditaja oleh individu yang dimaksudkan itu. Pada hakikatnya ia tidak benar dan individu tersebut salah seorang rakan niaga. Dia tidak terlibat dengan syarikat saya terutamanya memberi tajaan.
"Justeru dengan penjelasan ini, saya berharap cerita sebegini tidak lagi ditimbulkan oleh mana-mana pihak," ujarnya ketika ditemui semasa majlis pelancaran Festival Hijab 2012 di Kelana Jaya baru-baru ini.
Menurut Heliza, sehingga kini syarikat yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu itu masih lagi berfungsi dan menjalankan perniagaan membekal barang-barang dan pengubahsuaian bangunan.
"Ketika mula-mula syarikat ini ditubuhkan saya ada merancang untuk menghasilkan filem, namun perancangan tersebut ditangguhkan dahulu. Saya lebih suka memberikan tumpuan kepada perniagaan yang dijalankan sekarang.
"Tidak dinafikan jadual saya memang padat setiap hari, kerana selain menguruskan syarikat saya juga terbabit dengan pelbagai aktiviti lain seperti menjadi penceramah motivasi dan pengacara televisyen. Mungkin disebabkan itu saya masih lagi tidak mempunyai kekasih," ujarnya berseloroh.
Bercerita lebih lanjut mengenai statusnya sekarang, Heliza mengaku bahawa sehingga kini dia masih lagi tidak mempunyai teman lelaki dan selesa dengan kehidupan sekarang.
Ditanya sama ada dia teringin untuk berumah tangga memandangkan usianya yang kini sudah mencecah 26 tahun, artis kelahiran Kuala Terengganu itu menyatakan dia memang mahu berumah tangga dan mengakui sudah bersedia bergelar isteri.
"Siapa yang tidak mahu berkahwin, apatah lagi melihat ramai kawan-kawan saya yang sudah berumah tangga. Bagaimanapun, saya anggap semuanya itu terserah kepada jodoh.
"Cuma saya tidak mahu menjadi seperti kebanyakan yang dilakukan golongan muda sekarang iaitu bercinta sebelum berumah tangga. Kalau saya mahu serius dengan seseorang lelaki, saya akan terus kahwin dan kemudian bercinta selepas itu," jelasnya.
Berkenaan dengan lelaki pilihannya pula, Heliza meletakkan agama sebagai keutamaan dan seorang suami yang akan mampu membimbingnya ke jalan yang diredai.
Kembali berlakon
Selain bergelar penyanyi dan pengacara, Heliza juga bergelar seorang pelakon dan pernah membintangi sebuah filem berjudul Syurga Cinta dan telefilem Doa Ibu pada tahun 2009.
Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini Heliza tidak lagi muncul di kaca televisyen dan layar perak, seolah-olah dia seperti sudah tidak berminat lagi untuk bergelar seorang pelakon.
Kini, kerinduan peminat untuk melihat Heliza kembali berlakon terubat apabila dia bakal muncul dengan sebuah drama bersiri Warkah Cinta sebanyak 12 episod dan telefilem berjudul Kun Faya Kun.
"Boleh dikatakan saya sudah menyepi dalam dunia lakonan selama tiga tahun, tetapi itu tidak bermakna saya tidak mahu berlakon lagi kerana keinginan itu masih lagi ada.
"Tidak dinafikan sepanjang tempoh tersebut saya masih mendapat banyak tawaran berlakon, tetapi saya terpaksa menolaknya kerana jadual penggambaran sering bertembung dengan komitmen saya yang lain," ujarnya.
Mengenai tawaran berlakon pula, Heliza mengakui dia agak selektif dalam memilih setiap tawaran yang diterima dan hanya bersetuju asalkan skrip dan jalan ceritanya sesuai dengan karakter dan penampilannya.
Album sulung
Walaupun dilahirkan daripada sebuah program nyanyian lima tahun yang lalu, sehingga kini Heliza masih lagi belum pernah melahirkan sebuah album penuh.
Menurut Heliza, dia bukannya tidak berminat untuk menghasilkan album terutama buat para peminatnya. Sebaliknya, hasrat untuk menghasilkan album sering tertangguh kerana jadual kerjanya yang agak padat.
"Hanya pada tahun lalu barulah saya berkesempatan menghasilkan tiga buah single iaitu Cuma Aku, Kau Selamanya dan Chord G. Ketiga-tiga lagu tersebut dihasilkan oleh saya sendiri.
"Pada tahun ini pula saya menghasilkan sebuah lagi single yang berjudul Syurga Cinta hasil ciptaan komposer Mohd. Atlas. Mengenai album sulung pula, saya sendiri tidak pasti bila ia boleh dihasilkan, namun perancangan itu tetap ada," ujarnya.
Mengenai konsep album sulung yang bakal dihasilkan, Heliza menyatakan dia mahu tampil dengan album yang mengandungi lagu-lagu dakwah serta memberi pengajaran kepada pendengar dan sekarang ini dia sedang mencari komposer yang sesuai untuk menghasilkan lagu-lagu sebegitu.
- KOSMO!