Kepemimpinan Islam mesti berlandas takwa
Pemimpin yang baik sentiasa ingin berkhidmat dan berkorban demi kebahagiaan rakyat yang dipimpinnya dan tidak sekali-kali mengutamakan kepentingan dirinya, keluarga mahu pun kerabat terdekatnya.
Lebih daripada itu, Rasulullah SAW bersabda: “Pemimpin sesuatu bangsa pada hakikatnya adalah pelayan bagi bangsa itu.” (Riwayat Abu Na’im dan Ibnu Babuwaih)
Kekuasaan dan amanah kepemimpinan jika tidak dilandas ketakwaan kepada Allah dan kesedaran bahawa kuasa adalah amanah Allah, maka dia cenderung berlaku zalim, sombong serta menindas rakyatnya”
Sehubungan itu, memadailah Rasulullah SAW dan Khulafa al-Rasyidin sebagai contoh ikutan terbaik dalam konteks kepemimpinan unggul dalam lipatan sejarah Islam. Rasulullah SAW sendiri seorang pemimpin yang mengambil berat kebajikan rakyatnya dan sanggup berkorban demi rakyat.
Pernah satu hari, Saidatina Aisyah kebingungan untuk menyediakan hidangan makanan untuk dimakan bersama Baginda. Di dapur tidak ada apa-apa kecuali segenggam gandum. Akhirnya, gandum yang sedikit itulah dimasaknya untuk hidangan bersama Rasulullah.
Tatkala Rasulullah SAW hendak makan, tiba-tiba datang seorang lelaki kurus mengucapkan salam. Dia pun berkata: “Ya Rasulullah! Saya ini orang miskin. Kami sekeluarga dalam beberapa hari ini menahan lapar kerana tidak memiliki apa-apa lagi untuk dimakan. Oleh itu, tolonglah kami.”
Rasulullah hanya terdiam dan tidak tahu bagaimana harus menjawab kerana Baginda sendiri tidak memiliki apa-apa. Akhirnya Baginda berkata: “Wahai saudaraku! Aku pun hari ini tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan kecuali sekeping roti bakar. Namun, kalau kamu mahu menerimanya, dengan senang hati akan aku berikan kepadamu.”
Saidatina Aisyah tidak senang hati kerana tidak ada makanan lagi yang dapat mereka berdua makan pada hari itu. Lalu Aisyah berkata: “Mengapa Rasulullah lebih mementingkan orang lain daripada diri sendiri?” Baginda menjawab: “Wahai isteriku! Aku adalah pemimpin rakyatku. Kewajipanku adalah memberikan layanan dan perkhidmatan terbaik kepada mereka. Ingatlah, bagaimana aku harus menjawab apabila kelak Allah bertanya kepadaku: ‘Wahai Muhammad! Mana tanggungjawabmu sebagai pemimpin? Mengapa rakyatmu kelaparan sedangkan perutmu selalu kenyang?’”
Seorang pemimpin berkewajipan memberikan layanan dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat yang berada di bawah pimpinannya. Pendek kata, kebahagiaan dan kesengsaraan rakyat adalah cermin kejayaan atau kegagalan pemimpin.
Keadaan ini berbeza dengan realiti masyarakat dewasa ini yang rata-rata ramai manusia yang tertipu dengan kekuasaan sehingga mereka sanggup berusaha untuk mendapatkannya dan meraihnya dengan pelbagai cara.
Kadang-kadang menyembunyikan agama, keyakinan, dan tidak kurang pula ada yang sanggup mempermainkan agama demi kepentingan politiknya. Sedangkan Rasulullah SAW pernah memberi peringatan keras bermaksud: “Sesungguhnya kalian semua berlumba-lumba untuk mendapatkan kekuasaan padahal pada hari akhirat nanti akan menjadi penyesalan kamu sekalian. Berbahagialah orang yang tidak mengejarnya dan celakalah orang yang berlumba-lumba mendapatkannya.” (Riwayat Jama’ah)
Kekuasaan dan amanah kepemimpinan yang dimiliki seseorang manusia jika tidak dilandas dengan ketakwaan kepada Allah dan kesedaran bahawa kuasa adalah amanah dari Allah, maka dia akan cenderung berlaku zalim, sombong serta menindas rakyatnya.
Oleh sebab itulah, Rasulullah SAW memberi amaran keras kepada umatnya supaya jangan tersalah memilih pemimpin daripada kalangan mereka.
Sabda Baginda SAW: “Apabila amanah disia-siakan, maka tunggulah saat kehancuran.” Seorang sahabat bertanya: “Apakah yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu, wahai Rasulullah?” Rasulullah SAW menjawab: “Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada orang yang tidak berkelayakan, maka tunggulah saat kehancurannya.” (Riwayat Bukhari)
Kepemimpinan dalam Islam bukan sekadar kontrak perjanjian yang termeterai antara seorang pemimpin dengan masyarakat di bawah pimpinannya, tetapi satu ikatan perjanjian yang suci antaranya dengan Allah.
Seorang pemimpin yang sebenar akan berkhidmat kerana Allah dan akan berjuang menegakkan keadilan Islam demi kesejahteraan hidup rakyatnya.
- BERITA HARIAN