Kerja apa selepas universiti?
Soalan yang sangat klise ini boleh dikatakan ditanya kepada semua kanak-kanak, baik daripada ibu bapa si kecil itu atau orang terdekat mereka.
Mengapakah soalan itu ditanya? Soalan ini antara lain untuk memberikan bayangan kepada anak-anak bahawa suatu masa nanti, mereka akan besar dan bukan selama-lamanya menjadi kanak-kanak.
Soalan ini juga seolah-olah memberitahu kanak-kanak itu bahawa apabila besar nanti, mereka perlu bekerja demi meneruskan kelangsungan hidup. Mungkin ada banyak lagi sebab lain mengikut penilaian masing-masing.
Berabad lamanya, tidak kira di mana saja, ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah demi mengubah nasib hidup dan membanggakan keluarga serta negara. Kalau tidak pun nasib ibu bapa, nasib anak itu sendiri.
Semakin moden, bukan hanya anak lelaki yang dihantar belajar tinggi-tinggi, tetapi juga anak perempuan. Kini dengan adanya sistem kelayakan, anak perempuan nampaknya lebih ramai yang menjejak kaki ke universiti. Namun kini, ada yang mengatakan menjadi lulusan universiti tidak menjanjikan apa-apa selagi empunya diri tidak berusaha meningkatkan diri untuk berjaya.
Baik lelaki atau perempuan, setelah seseorang anak itu berjaya menempatkan diri ke alam universiti, apakah harapan semua orang terhadap diri mereka?
‘Semua orang’ yang dimaksudkan ialah dirinya sendiri, ibu bapa, keluarga, orang terdekat dan ahli masyarakat secara amnya.
Tentu saja semua itu mengharapkan dia tamat pelajaran dan mendapat kerja yang baik, sekali gus dapat menyara hidupnya dan membantu keluarga.
Lulus dengan cemerlang perkara kedua. Tamat belajar dan seterusnya mendapat pekerjaan lebih utama. Itulah harapan yang menggunung tinggi.
Bagaimana sekiranya sudah lama menggenggam ijazah, tetapi belum juga mendapat kerja tetap? Jenuh mencari dan menghadiri sesi temu duga, tetapi tidak berjaya? Tentu saja kekecewaan bukan hanya melanda diri, tetapi ramai lagi pihak terbabit.
“Pelajar universiti adalah ‘bahan asas’ yang melalui proses kehidupan ketika di universiti, seterusnya ia mencorakkan masa depan kejayaan mereka mendapat kerja selepas itu. Sekiranya mereka gagal mendapat kerja, ia satu kegagalan yang menyeluruh. Mungkin kerana pensyarah, pentadbir dan industri. Mungkin kerana pelajar itu sendiri,” kata Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni (ICAN), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Dr Norsaadah Ismail.
Benar kata-kata itu. Semua pihak terbabit dalam menghasilkan pelajar yang berjaya dan kemudian mendapat kerja yang baik. Sekiranya kita menyedari hakikat berkenaan, kita tidak mudah menuding jari menyalahkan satu-satu pihak saja apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini.
“Kami melahirkan pekerja untuk industri jadi pihak industri harus membantu,” kata Dr Norsaadah.
Beliau menjelaskan, pejabat Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri & Masyarakat (JIM), UiTM ditubuhkan pada 2007. Ia berhubung rapat dengan Alumni UiTM dan kini Pejabat Timbalan Naib Canselor bertukar nama kepada Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni (JIM&A).
Pejabat JIM&A juga dikenali dengan nama singkatan ICAN dalam versi bahasa Inggeris. Visi Pejabat ICAN adalah untuk menjadikan UiTM sebuah universiti unggul yang berteraskan kesarjanaan dan kecemerlangan akademik (asas dan gunaan).
Ini bagi melahirkan golongan Bumiputera yang dinamik, berdaya saing, beretika dan bertaraf dunia dalam semua bidang. Setelah itu, graduan UiTM berjaya menempatkan diri mereka di arena pekerjaan.
“Kami tidak mahu mengecewakan pelajar, ibu bapa dan kerajaan. Inilah harapan semua orang. Apabila anak itu dihantar ke universiti, semua orang mahu dia mendapat kerja dan membantu keluarganya semula. Bagaimana setelah bertahun-tahun belajar dan bergelar siswazah, anak itu tidak mendapat kerja terutama daripada keluarga susah
yang diharap dapat mengubah nasib keluarga? Bagaimana hendak mengubah kehidupan mereka tanpa pekerjaan?” katanya.
Keadaan inilah yang dibantu ICAN. Setiap fakulti dan kampus cawangan ada petugas khas yang ditugaskan untuk melihat kebolehan pasaran graduan. Mereka mengenal pasti fakulti yang memiliki graduan bermasalah untuk mendapat kerja.
“Satu persatu kami kenal pasti punca graduan menganggur serta peratusan yang tidak bekerja berdasarkan fakulti selain kursus yang mencatatkan paling ramai graduan tidak bekerja. Kami memastikan lebih 80 peratus graduan UiTM mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas mereka menamatkan pelajaran,” katanya.
Bagaimanapun, keadaan graduan yang tidak bekerja bukan semata-mata kerana mereka tidak diterima oleh pihak industri. Ada juga punca lain contohnya perkahwinan yang sering membabitkan graduan perempuan.
“Sekiranya graduan perempuan yang berkahwin, kami tidak begitu risau sebaliknya jika graduan lelaki tidak bekerja, itu yang merisaukan kami.
“Berkahwin atau tidak, graduan lelaki kena bekerja kerana mereka menyara keluarga. Tetapi ada juga graduan lelaki yang tidak bekerja makan gaji kerana mereka membuka perniagaan sendiri. Itu hal lain pula,” katanya.
Menurut Dr Norsaadah, setiap fakulti harus mengkaji sehingga ke akar umbi sebab graduan kursus mereka tidak bekerja. Sekiranya ia membabitkan kurikulum,
maka kurikulum itu harus diubah.
“Pihak kami perlu berhubung rapat dengan industri yang memerlukan pekerja. Daripada situ kami tahu apa yang mereka mahu serta boleh membuat perubahan dan penyesuaian.
“Fungsi ICAN bukanlah mencarikan kerja untuk graduan sebaliknya membantu kes tertentu. Namun dalam pada itu, kami mahu pelajar tahu sebab industri tidak
mahu mengambil mereka bekerja. Mereka harus sedar sejak awal lagi dan kesedaran ini kami jelaskan di dalam kelas sejak mereka di semester pertama.
“Baru-baru ini saya bercakap dengan pelajar tahun satu. Saya beritahu mereka jangan sangka alam universiti sebagai sambungan kepada tingkatan lima. Alam universiti ini sesuatu yang berkait rapat dengan dunia pekerjaan yang bakal mereka lalui tiga tahun lagi,” katanya.
Tambah Dr Norsaadah, Kementerian Pengajian Tinggi memang menekankan kepada pihak universiti supaya memastikan kurikulum yang ada memenuhi kehendak industri. Begitu juga kemahiran insaniah seperti kebolehan komunikasi, kerja berpasukan, keyakinan dan aspek lain yang perlu ada. Ini semua persediaan supaya pelajar tidak canggung untuk bekerja dan boleh menyesuaikan diri dengan mudah.
“Pasaran kerja tidak sekadar mencari siswazah yang lulus cemerlang, tetapi mereka juga harus ada kelebihan lain yang memikat bakal majikan. Kebolehan komunikasi dan bahasa Inggeris amat penting, begitu juga keyakinan,” katanya.
Butiran lanjut mengenai fungsi pejabat ICAN boleh diperoleh di laman http://ican.uitm.edu.my.
mendapat perkerjaan tidak hanya bergantung kepada kurikulum itu menepati kehendaki industi atau majikan,ianya bergantung juga kepada samada ada jawatan kosong atau tidak. ianya juga bergantung kepada kehendak majikan yang mungkin lebih senang mengambil yang sudah ada pengalaman dan tanpa perlu dilatih berbandng graduan baru.Sedia maklum bahawa undang-undang perkerjaan negara kita memang memberi perlindungan kuat kepada mana-mana perkerja yang mana bukannya senang untuk membuang perkerja setelah disahkan (confirm) perkerjaannya. Bagi wanita, cuti bersalin tiga bulan mungkin suatu perkara "kecil" untuk yang berkerja dengan kerajaan, tapi bagi majikan swasta yang kecil, ianya suatu tamparan aatah lagi tidak cukup dengan cuti umum yang banyak dalam setahun dinegara ini.Tambahan lagidengan adanya banyak universiti danuniversiti kolej ampir di semua negeri diMalaysia, tentunya ada lambakan. Pun begitu, rakyat atau ibu bapa tidak faham kenapa tidak boleh ada terlalu banyak universi…