Ancaman penggodam siber

Kira-kira tujuh juta pemilik telefon pintar di negara ini diancam penggodam siber yang menjadikan ia instrumen untuk menipu bagi mendapatkan wang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, berkata kurangnya kesedaran terhadap risiko keselamatan telefon pintar, menjadikan pengguna gajet berkenaan sasaran mudah.

“Modus operandi antaranya menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dikenali SMS Trojan kepada pengguna yang tanpa disedari, kos dikenakan ke atas pengguna dengan hanya membalas SMS berkenaan. Pengguna hanya sedar perkara itu apabila menerima bil telefon yang tinggi sedangkan mereka tidak menggunakannya,” katanya.

Katanya, penipuan juga dikesan menerusi aplikasi terdapat dalam peranti (telefon bimbit) seperti aplikasi Type-On yang sekiranya dimuat turun, akan menyebabkan pengguna menanggung kos kononnya dikenakan selepas memuat turun aplikasi terbabit walaupun mangsa sudah menghentikan penggunaannya.

Kerugian jutaan dolar

Lookout Mobile Security dipetik agensi berita AFP, menganggarkan pengguna di seluruh dunia mengalami kerugian jutaan dolar tahun lalu melalui virus malware dan toll fraud yang menyerang pengguna telefon pintar kerana mendapatkan aplikasi dari sumber tidak rasmi berbanding sumber dipercayai seperti Apple atau Google online shops.

Syed Ismail berkata, berdasarkan statistik polis, kerugian direkodkan dalam tempoh Januari hingga September tahun ini bagi jenayah siber menggunakan modus operandi melalui SMS atau panggilan telefon, perbankan internet atau perbankan telefon, penggodaman dan salah guna rangkaian termasuk belian barangan, adalah kira-kira RM21.8 juta.

Katanya, kes belian barangan melalui internet mencatatkan kerugian tertinggi iaitu RM14.5 juta membabitkan 1,298 kes, diikuti SMS atau panggilan telefon sebanyak RM3.4 juta (412 kes), RM3.3 juta (24 kes penggodaman), perbankan internet atau perbankan telefon sebanyak RM590,000 (74 kes).

“Bagaimanapun, kes salah guna rangkaian tidak merekodkan sebarang kerugian harta benda, lebih kepada jenayah peras ugut terhadap mangsa seperti menggunakan gambar dan kata-kata mengugut yang mewakili 25 kes,” katanya sambil menambah pengguna internet mudah alih di Malaysia pula mencecah 7.7 juta orang.

Katanya, polis akan merujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk tindakan lanjut dan bekerjasama rapat dengan agensi itu.

Beliau berkata, berdasarkan laporan, pengguna yang mendapati bil telefon mereka melambung tinggi tanpa sebab munasabah, hanya akan melaporkan kepada syarikat telekomunikasi sekadar untuk membuat aduan dan mendapatkan penjelasan mengenainya, tetapi tiada tindakan susulan.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url