ATM Juara Piala Sultan Ahmad Shah - Sumbangsih 2013



SHAH ALAM - Semangat juang yang tinggi menjulang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merangkul Piala Sultan Ahmad Shah buat kali pertama dengan menundukkan juara tiga trofi musim lalu, Kelantan di Stadium Shah Alam malam tadi melalui penentuan sepakan penalti 4-3 selepas terikat 1-1 pada 90 minit permainan.

Ketika permainan hanya berbaki lima minit, pertahanan ATM, Irwan Fadzly Idrus muncul wira The Gladiators dengan menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan bebas dari jarak 25 meter.

Jaringan itu memadamkan gol Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-55, sekali gus mengheret pemenang ditentukan menerusi penalti.

Di hadapan 40,000 penonton, Daudsu Jamaluddin menjadi watak kepada kegagalan Kelantan apabila gagal dalam penalti terakhir.

Kesempatan itu diambil oleh Bruno Martelotto yang menyempurnakan sepakan untuk mengesahkan kemenangan ATM.

Kemenangan malam tadi memastikan dendam kekalahan ATM pada perlawanan akhir Piala Malaysia kepada Kelantan tahun lalu akhirnya terbalas.

Sebelum sepakan Martelotto, Rizal Fahmi Rosid dari Kelantan dan pemain ATM, R. Surendran masing-masing gagal pada sepakan keempat, selepas tiga sepakan awal dapat disempurnakan oleh kedua-dua pasukan.

ATM wajar diangkat sebagai pemenang kerana mempamerkan permainan yang lebih kemas dan teratur berbanding Kelantan, yang tampak belum panas serta mempamerkan aksi yang perlahan sepanjang 90 minit perlawanan.

Bertambah manis, Irwan Fadzly turut dinobatkan Pemain Terbaik Perlawanan kerana bukan sahaja menjadi penjaring gol ATM tetapi menafikan sekurang-kurangnya dua percubaan terbaik Kelantan.

Pada perlawanan semalam, Mohd. Shazwan Yusof menjadi pilihan Bojan Hodak selaku penjaga gol utama selepas kehilangan Khairul Fahmi Che Mat dan Mohd. Shahrizan Ismail selain turut membariskan Zairo Anuar Zailani antara muka baru dalam kesebelasan utama.

Pemain muda ATM, Syazuan Hazani hampir membuatkan penyokong Kelantan tergamam pada minit ke-15 selepas menerima hantaran Martelotto dan berjaya melakukan rembatan kencang tetapi palang menjadi penghalang kepada hasrat ATM untuk mendahului.

Biarpun tenggelam dengan penguasaan bola yang berpihak kepada ATM, Kelantan turut melancarkan serangan sekali sekala dengan percubaan jarak jauh Zairo Anuar Zailani pada minit ke-19 yang dapat diselamatkan Farizal Harun.

Kegoyahan aksi penjaga gol ATM, Farizal Harun hampir membuka ruang kepada Kelantan mendapatkan gol pada minit ke-40 apabila hantaran ke belakang Amiridzwan Taj Tajudin dapat dicuri oleh Keita Mandjou, namun mujur percubaannya dapat ditampan oleh pertahanan berpengalaman, Irwan Fadzly Idrus, yang berada di hadapan pintu gol.

Selepas aksi perlahan pada babak pertama, Red Warriors bangkit pada babak kedua dengan lebih banyak gerakan bertenaga diaturkan oleh jentera tengah yang diketuai Mohd. Badhri. Mohd. Radzi.

Gol yang dinanti-nantikan akhirnya menjelma pada minit ke-55 melalui percubaan kencang Indra Putra Mahayuddin di dalam kotak penalti yang mengenai pertahanan ATM lantas memperdayakan Farizal sebelum bola melantun ke gawang.

Irwan sekali lagi muncul penyelamat buat pasukannya apabila berada tepat di depan pintu gol menyepak keluar bola percubaan Zamri Ramli pada minit ke-80 sebelum dia meledak gol penyamaan menerusi sepakan percuma lima minit kemudian.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url