CIMB Bank lancar aplikasi OctoPay di Facebook
Timbalan Pengerusi yang juga Ketua Perbankan Pelanggan, Renzo Viegas, berkata menerusi OctoPay yang juga pertama seumpamanya di ASEAN, bank mengukuhkan lagi kedudukan peneraju dalam perbankan internet apabila kali ini menyepadukannya dengan media sosial.
Beliau berkata, dengan OctoPay itu juga, CIMB mempelbagaikan lagi tawaran pilihan perkhidmatan perbankan kepada pengguna.
Tiga ciri utama
“Terdapat tiga ciri utama dalam aplikasi ini iaitu yang pertama ia membolehkan pengguna memindahkan wang daripada akaun CIMB mereka kepada rakan mereka di Facebook.
“Kedua, pengguna boleh menambah nilai prabayar telefon mudah alih mereka sama ada untuk kegunaan sendiri atau rakan mereka.
“Ciri terakhir yang juga paling menarik iaitu Coinbox, yang mana pengguna boleh mengajak rakan untuk menyimpan wang bersama-sama dalam satu tabung sama ada bagi tujuan peribadi atau amal serta dapat memantau siapa yang sudah melakukan pembayaran atau belum,” katanya pada majlis pelancaran aplikasi itu di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Perkhidmatan Kewangan Runcit CIMB Bank, Peter England.
Mengulas lanjut, Renzo berkata, menerusi aplikasi itu, pihaknya berharap mampu mendidik pengguna mengenai betapa mudah dan selamat melakukan transaksi perbankan melalui media sosial dan pada masa sama menggalakkan tabiat menabung dalam kalangan mereka.
Dijamin selamat
Beliau juga memberi jaminan sebarang urus niaga dilakukan menggunakan aplikasi itu adalah selamat kerana ia menggunakan ciri yang sama seperti CIMB Clicks.
“Antaranya, setiap urus niaga yang dilakukan menerusi aplikasi ini memerlukan pengguna mendapatkan kod pengesahan transaksi (TAC) yang akan dihantar ke telefon mudah alih mereka sama seperti digunakan dalam CIMB Clicks dan menjadikan urusan perbankan anda lebih selamat," katanya.
Mengenai penggunaan perkhidmatan itu, Renzo berkata, pihaknya tidak menetapkan sasaran tertentu, tetapi berharap dengan aplikasi baru itu, pelanggan akan tertarik untuk berdaftar dengan CIMB Clicks.
Beliau berkata setakat ini, CIMB Clicks mempunyai 3.6 juta pengguna berdaftar di Malaysia dengan jumlah purata urus niaga kewangan bulanan sebanyak 3.5 juta.
- BERITA HARIAN