Hari Tidur Sedunia dan Masalah Tidur

Residen Permasalahan Tidur Malaysia (SDSM), Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata, mereka yang ada masalah tidur mempunyai tujuh kali ganda risiko mendapat kecederaan akibat kemalangan.

Ini amat penting bagi mengatasi masalah berkaitan tidur bagi menjadikan jalan raya lebih selamat.

“Walaupun masalah berkaitan tidur boleh dirawat tetapi hanya satu pertiga saja pesakit mendapatkan rawatan profesional," katanya semasa majlis pelancaran Hari Tidur Sedunia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hari Tidur Sedunia disambut setiap Jumaat, minggu ketiga dalam bulan Mac, bertujuan memberi penerangan khusus kepada mereka yang mempunyai masalah tidur tentang cara mengatasi dan panduan penjagaan tidur yang baik.

SDSM memfokuskan kesedaran kepada permasalahan tidur bagi mendapatkan kehidupan lebih berkualiti kerana tidak ramai menyedari mengenainya

Menurut Dr. Muhammad Muhsin, pesakit dengan masalah tidur dan gagal mendapatkan rawatan akan memberikan kesan besar kepada ekonomi.

“Di Amerika Syarikat (AS), masalah insomnia melibatkan kos USD90 (RM280)hingga USD 100 (RM300) bilion setahun," katanya.

Kajian menunjukkan 46 peratus pekerja dengan masalah tidur melakukan pelbagai kesilapan berbanding 15 peratus pekerja sihat.

Dr. Muhammad Muhsin berkata, bagi mengenalpasti masalah tidur, makmal tidur yang sedia ada perlu ditambah bilangannya memandangkan 40 peratus penduduk mempunyai masalah tidur.

“Kajian juga menunjukkan kanak-kanak dan remaja mempunyai masalah tidur dan 15 peratus pelajar sekolah rendah mempunyai masalah pernafasan ketika tidur," katanya.

Beliau menambah, kesedaran lebih tinggi perlu diwujudkan terhadap bahaya masalah tidur di kalangan rakyat Malaysia kerana ia bukan saja menggugat produktiviti seseorang tetapi turut mengakibatkan obesiti, diabetes, serangan jantung dan pelbagai penyakit berbahaya lain.

“Kami berharap agar program yang dilaksanakan tahun ini akan mencapai kejayaan berterusan untuk mencetuskan minat dan menarik perhatian dunia perubatan dan orang ramai terhadap masalah tidur," katanya.

Jika kita mempunyai pakar pemakanan, kata Dr. Muhammad Muhsin, kita juga perlu mempunyai pakar mengenai tidur kerana ia adalah keperluan asas setiap manusia.

Antara masalah tidur biasa adalah insomnia, parasomnia (berjalan semasa tidur, mengigau, sindrom makan tengah malam), kecelaruan tidur REM, narcolepsy, sleep deprivation dan obstructive sleep apnea.

- UTUSAN


Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url