Pengganas Sulu dalam keadaan lemah
Sumber berkata, pengganas yang kini berpecah kepada beberapa kumpulan kecil dikesan sudah hilang arah dan berada dalam keadaan tertekan akibat trauma dengan insiden yang berlaku.
Beliau berkata, ini kerana sebelum datang ke Lahad Datu, Sabah untuk menuntut negeri itu, mereka telah dijanjikan bayaran RM80,000 setiap seorang dan diberikan pangkat dalam pasukan polis atau tentera jika misi mereka berjaya.
Malah, katanya, anggota yang sedia untuk taat setia menyumbangkan bakti sebagai 'polis' dan 'tentera' dalam misi pencerobohan itu dijamin bahawa tiada pertumpahan darah akan berlaku menyebabkan mereka tidak ragu-ragu menyertai kumpulan pengganas Kiram.
"Namun, mereka tidak menjangka peperangan akan berlaku menyebabkan mereka menjadi begitu trauma akibat ketakutan, malah kini tertekan kerana kebuluran selepas terputus bekalan makanan dan rasa diperdayakan.
"Nasib malang menimpa anggota kumpulan pengganas tersebut didedahkan oleh seorang rakan mereka yang ditahan oleh pasukan keselamatan di Kampung Tanduo pada tiga empat hari lalu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Sumber berkata, pengganas lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditangkap semasa sedang bersembunyi dalam semak dan keadaannya cukup lemah kerana kebuluran setelah beberapa lama tidak mendapat makanan.
Beliau berkata, sebenarnya ramai pengikut Kiram mahu menyerah diri kepada pihak berkuasa sebelum tercetusnya serangan pada 20 hari lalu tetapi dihalang oleh jeneral yang mengancam untuk menembak mereka.
Kata sumber, pihak berkuasa bersedia menerima pengganas terbabit jika tampil menyerah diri tetapi mereka yang ditangkap hidup-hidup ini tetap perlu disiasat dan dikenakan tindakan undang-undang berdasarkan kesalahan yang dilakukan.
"Kita percaya saki baki kumpulan pengganas Kiram yang sudah berpecah kepada kumpulan kecil iaitu tiga hingga empat orang menjadikan kawasan semak di kebun-kebun penduduk di Tanjung Labian, Tanjung Batu dan Sungai Bilis untuk menyembunyikan diri kerana kawasan Felda Sahabat tidak sesuai untuk mereka berbuat demikian disebabkan keadaan ladang yang bersih dan terurus.
"Terdapat juga beberapa pengganas yang berjaya meloloskan diri dengan menyamar sebagai penduduk kampung dan ada di kalangan mereka sudah kembali ke Filipina," ujarnya.
Beliau berkata, usaha mengesan pengikut Kiram yang berjaya meloloskan diri tetapi masih berada di Sabah, kini giat dijalankan oleh pihak berkuasa.
Kata sumber, seorang pengganas yang ditangkap dan ditemui mati membunuh diri dalam tahanan baru-baru ini pula dipercayai berbuat demikian akibat tekanan perasaan.
Mengenai kesahihan ketua penceroboh, Azzimudie telah melarikan diri dari Sabah dan pulang ke selatan Filipina, beliau berkata, perkara tersebut mungkin benar berdasarkan maklumat pihak risikan negara berkenaan dan dikukuhkan lagi dengan dakwaan penduduk kampung yang mendakwa sudah 10 hari tidak lagi melihat kelibat lelaki tersebut.
- UTUSAN