Pertahankan kedaulatan negara
Bekas Ketua Polis Negara
Insiden yang kita hadapi sekarang iaitu pencerobohan kumpulan bersenjata terdiri hampir 200 orang Islam dari selatan Filipina dan mendakwa sebagai tentera Kesultanan Sulu mempunyai sejarah tersendiri yang relevan dan berkait rapat dengan penubuhan Malaysia serta pembentukan negara Filipina moden.
Sebelum Malaysia diwujudkan pada 16 September 1963, Sabah yang dikenali sebagai Borneo Utara British merupakan sebuah wilayah di bawah pemerintahan kolonial Inggeris. Kedudukan Borneo Utara British yang begitu hampir dengan selatan Filipina menjadikan sempadannya, seperti dikatakan banyak pihak, bolos atau mudah ditembusi.
Pada ketika itu, seolah-olah tiada sempadan yang kukuh memisahkan kedua-dua wilayah itu. Hanya Laut Sulu yang menjadi sempadan. Keadaan geografi yang sedemikian memudahkan penduduk dari selatan Filipina memasuki Borneo Utara British sehingga menyebabkan masyarakat yang berasal dari Sulu menjadi kumpulan etnik ketiga terbesar di negeri itu selepas kaum Kadazandusun dan Cina. Malah, majoriti umat Islam di Sabah hari ini berasal dari selatan Filipina. Itu memang fakta sejarah.
Era Filipina sebagai sebuah republik yang bebas dan merdeka bermula pada 1946. Sebelum itu, negara berkenaan dijajah oleh kuasa-kuasa Barat iaitu Sepanyol (1565-1821) dan Amerika Syarikat (1898-1946). Saya pernah terbaca dalam sebuah buku yang menyatakan Manila yang kini menjadi ibu negara Filipina pernah diperintah oleh seorang sultan.
Mungkin sistem kesultanan yang diamalkan oleh wilayah-wilayah lain di Filipina sebelum kepulauan itu dijajah Sepanyol bukan terhad di kawasan selatan sahaja. Namun, hanya Kesultanan Sulu yang masih lagi wujud dan kawasannya meliputi Sulu, Basilan, Palawan dan Tawi-Tawi. Dalam situasi yang kita hadapi sekarang, waris-waris Kesultanan Sulu mendakwa mereka mempunyai hak yang sah ke atas Sabah dan berhasrat menjadikannya sebahagian daripada kawasan di bawah naungan kesultanan itu.
Hasrat menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara British dan Sarawak disuarakan oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, ketika berucap dalam satu majlis yang dianjurkan Persatuan Wartawan Asing Asia Tenggara di Singapura pada 1961. Indonesia dan Filipina menunjukkan reaksi yang agak cepat dan keras terhadap idea tersebut. Indonesia yang pada ketika itu di bawah pentadbiran Presiden Sukarno menuduh penubuhan Malaysia sebagai penjajahan bentuk baharu atau neokolonialisme.
Pentadbiran Presiden Diosdado Macapagal dari Filipina pula tidak bersetuju kerana pada pandangannya, pemerintah Filipina yang mewakili Kesultanan Sulu mempunyai hak ke atas Borneo Utara British. Bantahan itu diasaskan kepada satu perjanjian yang ditandatangani antara Kesultanan Sulu dan Syarikat Borneo Utara British pada 1878.
Berdasarkan perjanjian itu, Borneo Utara British adalah sebahagian daripada wilayah Kesultanan Sulu. Terdapat kemungkinan kerajaan Filipina telah dihubungi waris-waris Kesultanan Sulu dan mereka meminta Macapagal menyuarakan tuntutan mereka terhadap Borneo Utara British secara terbuka serta menjadikan tuntutan itu sebahagian daripada dasar luar Filipina terhadap penubuhan negara Malaysia.
Pengisytiharan penubuhan Malaysia yang dianggotai Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963 disahut dengan konfrontasi oleh Indonesia. Beberapa rundingan tiga penjuru antara Tunku Abdul Rahman, Macapagal dan Sukarno diadakan di beberapa lokasi termasuk di Bangkok dan Tokyo namun tidak meredakan tentangan kedua-dua negara itu.
Pungutan suara yang dianjurkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada masa itu mengesahkan majoriti penduduk di Sabah dan Sarawak mahu merdeka daripada pemerintahan kolonial British menerusi penyertaan dalam Malaysia. Macapagal terpaksa menerima keputusan pungutan suara itu tetapi sehingga sekarang, kerajaan Filipina masih belum menarik balik tuntutannya terhadap Sabah. Ketegangan antara Filipina dan Malaysia nampaknya seperti sudah reda tetapi sebenarnya belum reda lagi. Bagi Indonesia, dasar konfrontasi tamat dengan berakhirnya pemerintahan Sukarno pada 1965.
Apabila Ferdinand Marcos menjadi Presiden Filipina mulai 1965 hingga 1986, tuntutan ke atas Sabah dihangatkan semula. Pendekatan Marcos yang bersifat autokratik itu tidak sama dengan Macapagal yang lebih mengutamakan diplomasi. Marcos kelihatan menggalakkan waris Kesultanan Sulu menuntut Sabah dan sikap Marcos ini menimbulkan masalah dalam hubungan antara dua negara. Dipercayai, waris Kesultanan Sulu meneruskan tuntutan ke atas Sabah selari dan sehaluan dengan dasar luar kerajaan Filipina.
Semasa pentadbiran Marcos, tuntutan waris Kesultanan Sulu turut membabitkan tentera Filipina dalam projek-projek tertentu. Salah satu projek yang mereka laksanakan ialah Operasi Merdeka pada 1967. Operasi ini semacam mirip dengan insiden yang berlaku di Lahad Datu. Tentera Filipina telah melatih sekumpulan pemuda etnik Tausug dan Sama di selatan Filipina yang beragama Islam bagi membentuk satu pasukan komando yang objektifnya adalah untuk menimbulkan suasana kacau-bilau dan tidak stabil di Sabah. Tujuan operasi itu adalah untuk menunjukkan kononnya rakyat Sabah tidak suka dengan Malaysia, justeru membuktikan pungutan suara oleh PBB adalah tidak betul.
Namun, sebaik sahaja mendarat di Sabah, pasukan itu sedar mereka telah diperalatkan untuk menentang sebuah kerajaan di Sabah yang ditadbir oleh orang Islam. Ketika itu, Ketua Menteri Sabah ialah Tun Datu Mustapha Harun. Pemuda-pemuda Tausug dan Sama terbabit berpatah balik ke Filipina. Malangnya, mereka kemudiannya telah dibunuh oleh tentera Filipina bagi mengelakkan insiden ini terbongkar. Insiden pembunuhan antara 50 hingga 60 pemuda malang itu dinamakan sebagai Pembunuhan Corregidor dan orang Tausug menamakannya Pembunuhan Jabidah.
Jadi, bagi saya, pencerobohan terbaharu oleh kumpulan bersenjata yang menggelarkan diri mereka tentera Kesultanan Sulu di Lahad Datu ini semacam ulangan terhadap insiden Operasi Merdeka yang berlaku pada 1967. Walaupun dalam bentuk dan skala yang berlainan, Operasi Merdeka mempunyai latar belakang yang sama dengan insiden di Lahad Datu sekarang.
Saya hairan mengapa sehingga kini, kerajaan Filipina masih belum menggugurkan tuntutan terhadap Sabah sedangkan ada beberapa sebab yang mewajarkan mereka berbuat demikian. Pertama, pungutan suara oleh PBB telah mengesahkan kehendak majoriti penduduk Sabah untuk bergabung di dalam Malaysia. Kedua, kerajaan Filipina sendiri sudah tidak mengiktiraf kewujudan wilayah Kesultanan Sulu.
Setelah Sultan Sulu terakhir yang diiktiraf Manila iaitu Sultan Mahakutta Mohamad Kiram mangkat pada 1986, kerajaan Filipina tidak melantik waris baginda sebagai Sultan Sulu yang baharu. Sultan Mahakutta Mohamad Kiram mempunyai tiga waris terdekat iaitu Sultan Jamalul Kiram III yang kini menetap di Manila; Sultan Ismail Kiram di Jolo dan Raja Muda Agbimuddin di Simunu, Pulau Tawi-Tawi. Perlu diingat, kerajaan Filipina di bawah pentadbiran Marcoslah yang telah menghidupkan semua Kesultanan Sulu apabila secara rasmi melantik Mahakutta Mohamad Kiram sebagai Sultan Sulu pada Mei 1974. Mungkin, pentadbiran Marcos mengambil tindakan itu bagi merancakkan lagi tuntutan kerajaan Filipina ke atas Sabah.
Memajakkan
Seperkara lagi, merujuk kepada perjanjian yang dibuat antara Sultan Jamalul Alam dan Syarikat Borneo Utara British pada 1878, Kesultanan Sulu bersetuju memajakkan Sabah kepada syarikat tersebut dengan bayaran cession money sebanyak 5,000 ringgit setahun. Ia semacam bayaran ufti. Jika dilihat pada istilah cession yang digunakan, ia bermaksud penyerahan. Kerajaan Malaysia semacam masih mengiktiraf perjanjian ini kerana masih membayar ufti. Yang aneh bagi saya, perjanjian itu seperti telah digantikan dengan perjanjian yang dibuat oleh kerajaan Sepanyol sebagai kuasa yang menjajah Filipina atau lebih dikenali sebagai Protokol Madrid pada 1885. Menurut perjanjian yang dibuat bersama Britain dan Jerman itu, Sepanyol bersetuju melepaskan segala tuntutan Filipina terhadap Borneo Utara British.
Kemudian, setelah Amerika Syarikat menggantikan Sepanyol sebagai penjajah di Filipina, Perjanjian Carpenter telah ditandatangani antara kuasa kolonial itu dan Kesultanan Sulu pada Mac 1915. Di bawah perjanjian ini, tuntutan Kesultanan Sulu terhadap Borneo Utara British dianggap tamat sebaik sahaja Sultan Jamalul Kiram II menandatangani perjanjian tersebut dan menyerahkan kuasa politik kepada Amerika Syarikat.
Melihat kepada sebab-sebab yang dinyatakan tadi, saya tidak faham mengapa kerajaan Filipina tidak mahu menarik balik tuntutan terhadap Sabah. Walaupun kita kini saling bekerjasama di dalam semangat perpaduan ASEAN, tuntutan itu masih lagi wujud sejak era Macapagal sehingga era Presiden Filipina ketika ini, Benigno Aquino.
Saya fikir kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai waris Kesultanan Sulu kini dalam keadaan terdesak kerana konsep wilayah autonomi Bangsamoro tampak mengetepikan kepentingan kesultanan itu. Soal kewujudan Kesultanan Sulu tidak disentuh dalam gagasan tersebut sedangkan beberapa pulau di selatan Filipina termasuk Basilan, Palawan, Sulu dan Tawi-Tawi adalah wilayah mereka. Waris-waris Kesultanan Sulu semacam menyedari mereka tidak lagi mendapat sokongan daripada kerajaan Filipina seperti yang pernah berlaku di bawah pentadbiran Macapagal dan Marcos.
Selain itu, pada pandangan mereka, kerajaan Malaysia juga seperti tidak melayan tuntutan waris Kesultanan Sulu walaupun kita masih membayar ufti kepada mereka. Waris Kesultanan Sulu menganggap bayaran ufti itu seperti obor yang menyalakan seribu harapan atau impian. Dalam perspektif ini, mungkin mereka membuat tuntutan kini atas sebab ekonomi. Dalam hal ini, mereka mungkin hendakkan bayaran pampasan itu dibuat mengikut penilaian semasa.
Kesimpulannya dalam kalangan negara-negara ASEAN, Malaysia merupakan negara yang banyak bersempadan dengan negara lain. Kita bersempadan dengan Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand dan Brunei. Sempadan maritim kita dengan negara-negara lain termasuk Filipina sememangnya agak panjang. Bagi saya, tugas mengawasi sempadan maritim sesebuah negara bukan kerja mudah. Sempadan maritim mudah dicerobohi, terutamanya jika mereka menyusup masuk dalam kumpulan kecil seperti menyamar sebagai nelayan. Jika tiada risikan awal, bukan mudah untuk mengesan penyusupan. Pakar strategi China purba, Sun Tzu dalam bukunya yang berjudul Seni Peperangan banyak menyebut tentang perlunya perisikan untuk memenangi peperangan.
Apa yang penting, tentera, polis dan pihak berkuasa maritim perlu mempunyai rangkaian perisikan yang lebar dan berkesan bagi mencegah pencerobohan sempadan maritim kita.
- MINGGUAN MALAYSIA