Ramai abai pengurusan makanan

Makan  kena pantang. Tak boleh makan nasi biasa, yang berkanji dan tinggi karbohidrat, tak boleh ambil banyak makanan manis, tinggi kandungan protein dan garam.

"Jangan sampai terlebih ayam, ikan, daging, hati dan soya. Semuanya kena hati-hati kalau nak makan." "Kalau dah semua tak boleh, habis saya nak makan apa?" Itu antara keluhan yang sering ditimbulkan oleh kebanyakan pesakit yang menjalani rawatan dialisis. Malah kebanyakan pesakit mengakui mereka lebih ditekankan mengenai apa yang tidak boleh dimakan berbanding apa yang boleh dimakan.

Seharusnya panduan pemakanan yang sihat boleh membawa keseronokan dalam kehidupan pesakit dialisis untuk diamalkan dalam pengurusan pemakanan dan diet mereka.

Atas keprihatinan itu membawa kepada pelancaran buku Resipi Pesakit Dialisis 2013" - buku resepi pertama HKL untuk pesakit yang menjalani rawatan dialisis, baru-baru ini.

Pengurusan makanan

"Antara isi kandungan buku ini ialah mengamalkan pemakanan yang sihat dan menjalani gaya hidup sihat. Diharapkan dengan pelancaran buku ini dapat membantu meningkatkan pemahaman dan kepentingan pengurusan pemakanan kepada pesakit dialisis", kata Ketua Jabatan Nefrologi HKL dan Ketua Perkhidmatan Nefrologi bagi Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Ghazali Ahmad.

Di Malaysia, penyakit buah pinggang kronik adalah masalah kesihatan yang serius yang memerlukan perawatan dialisis atau pemindahan buah pinggang agar pesakit boleh meneruskan kehidupan.

Menurut statistik terbaru Hospital Kuala Lumpur (HKL), negara mempunyai 25,688 pesakit dialisis dan 1,884 penerima buah pinggang berdaftar pada tahun 2011.

Penyakit buah pinggang kronik secara umumnya mempengaruhi semua aspek kehidupan pesakit dan secara tidak langsung kepada anggota keluarga terdekat.

Kebanyakan orang menganggap hanya perawatan dialisis dan pemindahan buah pinggang adalah jalan terbaik bagi mengawal penyakit ini dan mengabaikan peranan penting pengurusan pemakanan dan diet.

Pelbagai masalah dialami pesakit yang menjalani rawatan adalah berkaitan dengan pengambilan makanan dan minuman yang berlebihan atau tidak sesuai dengan keadaan penyakit mereka. Apatah lagi dengan budaya pemakanan yang pelbagai dan menyelerakan di negara ini.

Dr. Ghazali berkata, jumlah penghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD) kian bertambah dan boleh berada di tahap yang membimbangkan sekiranya orang ramai tidak mengambil sebarang langkah pencegahan awal.

Kandungan nutrien

Secara umumnya fungsi buah pinggang adalah untuk menapis bahan buangan dalam badan. Namun untuk pesakit CKD, fungsi buah pinggang mereka adalah terhad.

Oleh itu kandungan nutrien makanan yang dimakan oleh pesakit perlu diberi pertimbangan khusus.

Apabila buah pinggang gagal berfungsi, pesakit yang menjalani dialisis perlulah mengawal kandungan air dan garam bagi mengelakkan bengkak terutama di bahagian kaki dan paru-paru berair.

Buku resipi ini menyediakan satu panduan masakan sesuai untuk buah pinggang yang komprehensif untuk pesakit dialisis berdasarkan cadangan daripada pakar pemakanan.

"Pesakit dialisis perlu mengawasi diet mereka dengan teliti di samping mengetahui jumlah protein, kalori, cecair, vitamin dan mineral yang diambil pada setiap hari," jelas Dr. Ghazali.

Bagi mencapai hasil dialisis yang baik, penting bagi pesakit mempunyai kandungan protein dan khasiat yang seimbang setiap hari.

Ini kerana pesakit akan mengalami kehilangan protein ketika menjalani rawatan dialisis menyebabkan mereka perlu mengoptimum pengambilan diet.

Menurut Pakar Pemakanan HKL (Pakar Diet), Datin Nor Sharita Mohd Saad, buku resipi ini bukan sahaja memaparkan pelbagai jenis hidangan dan masakan yang boleh dicuba oleh pesakit malah turut menyatakan jumlah dan sukatan yang bersesuaian untuk satu hidangan empat orang.

Turut disediakan ialah panduan sukatan yang betul mengikut sukatan peralatan yang sedia ada di dapur biasa (ukuran rumahtangga).

Jika panduan itu diikuti dengan betul, pesakit dialisis akan terus dapat menikmati masakan seperti asam pedas, daging masak halia, ayam goreng berempah, nasi goreng Cina, asam laksa, cendol, samosa dan karipap.

"Resipi yang tersedia dalam buku ini adalah hasil yang diubahsuai berdasar komen daripada pesakit dan Pegawai Perubatan setelah sesi ujirasa dijalankan," jelas Nor Sharita.

Manakala resipi yang dimuatkan mematuhi jumlah garam (sodium) yang dibenarkan. Selain turut mengandungi analisis makanan yang menunjukkan jumlah sebenar kandungan kalori, protein, potasium dan fostat dalam makanan itu.

Malah cara penyediaannya mudah dan boleh dimasak sama ada oleh pesakit ataupun penjaga.

Buku resipi dialisis berbahasa Melayu yang diterbitkan oleh Jabatan Nefrologi dan Jabatan Dietetik & Sajian HKL dengan usahasama AbbVie Sdn Bhd ini juga bakal diterjemahkan dalam bahasa Inggeris, Tamil dan Mandarin dan boleh dimuat turun di www.hkl.gov.my.

- BERNAMA



Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url