Baginda SAW mengajar kita bagaimanakah usaha yang perlu bagi melahirkan
hati yang bersih dan tenang, antaranya ialah tafakur dan muhasabah
dengan merenung kehidupan serta memikirkan mengenai hubungan hati kita
dengan Allah SWT.
- Beristighfar dengan memohon ampun terhadap Allah SWT.
Baginda SAW yang bersifat maksum daripada dosa beristighfar sebanyak 70
kali sehari semalam walaupun baginda bersifat maksum dan diampunkan
dosanya oleh Allah SWT sebagai tanda bersyukur Baginda SAW.
Firman Allah SWT: “Tiadalah Tuhan akan menyeksa mereka, sedangkan engkau
berada di antara mereka dan tiadalah Tuhan hendak menyeksa mereka
selama mereka beristighfar.” (Surah al-Anfal, ayat 33).
- Berselawat kepada Nabi SAW sekadar bilangan yang
termampu untuk mendapat syafaat baginda di hari akhirat nanti. Nabi SAW
bersabda: “Barang siapa yang berselawat kepadaku sekali, nescaya Allah
SWT akan membalasnya dengan selawat ke atasnya sepuluh kali.”
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah SWT dan malaikat-Nya
berselawat kepada Nabi, wahai orang yang beriman, berselawatlah ke
atasnya dan mengucap salamlah kepadanya dengan sepenuh kehormatan.”
(Surah Ahzab, ayat 56)
- Mengingati mati yang tetap akan mengunjungi kita pada
bila-bila masa. Sabda Rasulullah SAW: “Perbanyakkan mengingati mati
kerana yang demikian itu akan mengurangkan seseorang itu melakukan dosa
dan tidak tamak pada dunia.”
Zikir elak sifat riak
- Berzikir secara tersembunyi bagi mengelakkan sifat
menunjuk-nunjuk (riak). Sabda Rasulullah SAW: “Sebaik-baik zikir ialah
yang dirahsiakan (dalam hati) dan sebaik-baik rezeki ialah apa yang
mencukupi.”
Firman Allah SWT: “Berzikirlah kepada Tuhanmu dalam hatimu dengan
perasaan rendah hati dan perasaan takut.” (Surah al-A’raf, ayat 205)
- Berdoa kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh. Firman
Allah SWT: “Dan Tuhan kamu berfirman: Mohonlah kepada-Ku nescaya Aku
akan memperkenankan permohonan kamu.” (Surah al-Mukminin, ayat 180)
Perbanyakkan berdoa kepada Allah SWT setiap masa. Selepas solat
fardu, membaca al-Quran, solat tahajud di tengah malam dan di tempat
yang afdal doa kerana dengan banyaknya doa, hati akan menjadi bersih,
lembut dan sejahtera.
- BERITA HARIAN