Tips Memborong Barangan Luar Negeri





  • Sekiranya anda serius mahu memborong barang, elok juga memperuntukkan kunju­ngan anda khas bagi tujuan itu saja. Ini dapat me­ngelakkan anda daripada rasa kecewa sekiranya tidak dapat berjalan-jalan dan berseronok seperti orang lain yang bercuti.

    Contohnya anda mahu memborong bara­ngan di China. Kenal pasti barang bersesuaian untuk diniagakan di persekitaran anda atau senang mendapat perhatian pelanggan. Begitu juga proses membawanya pulang. Fikirkan mengenai bayaran cukai dan sekatan lain yang dikenakan pihak negara terbabit dan negara kita sendiri.

    Tentu merugikan sekiranya barangan yang anda beli itu rupa-rupanya tidak dibenarkan dijual di negara kita kerana melanggar peraturan jualan.

  • Pakaian, beg, jam tangan, hiasan rumah, cadar, sutera, pinggan mangkuk dan gajet antara yang paling disukai oleh peniaga dari Malaysia. Ada yang terus membeli walaupun baru pertama kali berkunjung, tanpa menyelidik terlebih dulu.

    Sering terjadi, apabila sampai di Malaysia mereka menyedari kualiti barangan itu yang mengecewakan.

  • Untuk menyelidik, ia bukanlah boleh dilihat pada sekali dua kunjungan tetapi perlu beberapa kali untuk melihat corak permintaan dan pembekalan. Di China, Vietnam dan Indonesia, jangan terkejut apabila kedai yang anda temui pada kunjungan sebulan lalu sudah tiada lagi di tempat yang sama. Begitu juga corak jualannya yang mengikut musim.

    Pada musim panas dan sejuk, corak jualannya sangat berbeza. Kasut dan baju yang ada pada musim sejuk tidak akan anda temui pada musim panas.

  • Anda perlu sangat berhati-hati memilih gajet sebagai produk jualan kerana di China, jualan barangan ini sangat pantas diganti de­ngan teknologi terkini. Produk yang anda jual empat bulan lalu mungkin sudah tiada lagi stok hari ini.

    Ini bermakna anda tidak boleh sewenang-wenangnya berjanji dengan pelanggan mendapatkan barangan yang sama selagi belum melihat barangnya di hadapan mata.

  • Ada yang serius mahu mengenal pasti barang yang sesuai dijadikan jualan, mereka tinggal lama di sesuatu negara sehingga beberapa minggu. Keadaan ini membolehkan mereka meninjau barangan dan berkenalan dengan pembekal yang memberi tawaran harga terbaik.

  • Harga borong dan harga seunit. Di Vietnam contohnya, apabila kita bertanya sesuatu harga, mereka terus membalas dengan ‘How many? (Berapa banyak?)’. Ini kerana mereka suka kita membeli dalam kuantiti yang banyak.

    Namun sebenarnya, ada penjual yang sebenarnya memperdayakan kita de­ngan memberikan harga yang hampir sama walaupun kita membeli sebuah atau memborong banyak barangan mereka. Justeru, pastikan sekiranya anda membeli jumlah yang banyak, harganya mesti jauh lebih murah daripada harga satu barang.

  • Beli barang seawal yang boleh. Jangan membeli barang pada hari terakhir anda mahu pulang. Katakan kunjungan anda selama lima hari jadi anda boleh mula mencari barang dan membeli pada hari pertama dan kedua lagi. Hari seterusnya boleh digunakan untuk memeriksa barang itu sama ada ia masih berfungsi atau tidak.

    Misalnya, zip beg elok atau tidak, gajet elektronik berkeadaan baik atau sebaliknya. Gunakan masa ini untuk memastikan peralatan elektronik itu berfungsi seperti yang dikatakan termasuk ketahanan bateri dan ciri-ciri lain. Anda ada tiga hari lagi untuk menukarnya jika ia rosak. Pastikan semua resit masih berada di tangan anda.

  • Membeli barang juga harus berhati-hati dan tidak mempercayai mereka 100 peratus dalam proses pembungkusan. Anda perlu memeriksanya satu persatu bagi memastikan apa yang diminta betul-betul sama dan di dalam setiap kotak mempunyai barang.

  • Cukai dan pemeriksaan kastam. Sekira­nya anda berhajat membawa pulang barang yang dibeli bersama penerbangan pulang, harus diingat, bayaran bagasinya agak mahal. Adakah ia berbaloi?

    Sekiranya ia didaftar masuk ke bagasi, ia akan diperiksa oleh pihak kastam di negara kita. Ada juga yang membawa barangan itu sebagai beg yang dibawa sendiri contohnya gajet yang kecil. Justeru, anda harus bersedia apabila pihak kastam memeriksa setiap barangan dengan terperinci.

    Apa saja yang mempunyai bateri dalam kuantiti yang banyak tidak boleh dibawa menaiki pesawat kerana dianggap bahaya.

  • Membawa barang gajet pulang melalui kargo laut mungkin lebih murah tetapi jumlah barang yang hendak dibawa harus banyak dan jangka masa ia tiba di Malaysia pula sehingga tiga minggu.

  • Bahasa. Ada masa elok menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan perbincangan dan tawar menawar. Ada ketikanya, bahasa isyarat sudah mencukupi. Ada negara yang membuatkan kita sangat sukar berkomunikasi dengan mereka kerana bahasa Inggeris bukan digunakan dengan meluas di sana contohnya di China. Tidak mengapa, anda masih boleh tawar menawar menggunakan mesin mengira atau menulis di kertas.

  • Lebih selamat membeli barangan yang sudah sedia ditempah awal oleh pelanggan anda. Contohnya sekiranya mereka mahu beg yang sudah biasa anda beli, ambil wang pendahuluan terlebih dulu supaya mereka tidak berubah fikiran dan anda tidak berputih mata.

    Sekiranya mempunyai pelanggan yang tetap dan sudah menempah, contohnya telekung Vietnam atau Bandung, ia lebih selamat. Ini supaya anda tidak membazir wang membeli barangan berlebihan yang belum tentu dibeli ataupun tidak.

  • Bagi mereka yang sudah biasa pergi bersendirian dalam membeli barangan, mungkin sudah tahu selok-belok pembelian dan lokasinya.

    Bagi mereka mengikut ejen pelancongan pula, pastikan dia mengetahui tujuan anda ke situ dan membawa anda ke kedai yang sesuai saja untuk memborong dan mendapat harga murah.

    Sekiranya dia membawa juga anda ke kedai berjenama yang harganya lebih mahal dari negara kita walaupun sudah diberitahu anda mahu memborong, segera membuat penukaran supaya kunjungan perniagaan anda itu tidak sia-sia dan merugikan wang.

  • - HARIAN METRO


    Next Post Previous Post
    No Comment
    Add Comment
    comment url