Universiti Politeknik mulai 2015
Perkenal program baru
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata antara langkah awal bagi merealisasikan usaha itu adalah mewujudkan enam program baru di peringkat Ijazah Sarjana Muda, yang dilaksanakan dalam fasa kedua program bermula tahun ini.
“Enam program Ijazah Sarjana Muda itu adalah sebagai permulaan dan lebih banyak program akan diwujudkan menjelang 2015 sebagai langkah pemerkasaan supaya kita boleh mewujudkan universiti dalam institusi Politeknik.
“Usaha mewujudkan universiti dalam Politeknik adalah lebih baik berbanding universiti di luar lingkungan Politeknik kerana ia akan menjadi landasan kepada lepasan Politeknik sedia ada menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Program Transformasi Politeknik Fasa Kedua dan LUNAK 18th FIRA Roboworld Cup & Congress KL 2013, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ab Rahim Md Noor dan Ketua Pengarah Pengajian Politeknik KPT, Mohd Nor Yusof.
Pada majlis itu, Mohamed Khaled turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) membabitkan kerjasama Kerajaan (Politeknik Malaysia) dengan tiga institut pengajian tinggi swasta (IPTS) iaitu UCSI University, Kolej Sunway Kuching dan EC-Council Academy membabitkan pembangunan program akademik, pertukaran tenaga pengajar, penyelidikan dan pembangunan serta artikulasi program pengajian.
Mohamed Khaled berkata, melalui penubuhan Universiti Politeknik, pelajar lepasan Politeknik sedia ada akan mempunyai laluan lebih mudah bagi menyambung pengajian ke peringkat ijazah.
Katanya, sebelum ini lepasan diploma Politeknik terpaksa bersaing dengan lepasan diploma institusi pengajian tinggi awam (IPTA) selain lepasan matrikulasi untuk menyambung pengajian peringkat ijazah.
Tiga Politeknik Premier
Dalam pada itu, beliau berkata, enam program ijazah berkenaan akan dilaksanakan di tiga Politeknik Premier iaitu Politeknik Sultan Ibrahim, Johor; Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor dan Politeknik Ungku Omar di Ipoh.
Katanya, dua membabitkan program kerjasama ijazah berkembar dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), manakala empat lagi membabitkan program secara ‘home grown’.
Kursus ditawarkan adalah program Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan, Teknologi Pembuatan, Teknologi Rekabentuk Kejuruteraan, Rekabentuk Teknologi Automotif, Kejuruteraan Elektronik Pembuatan, Animasi Digital dan Pengurusan Pelancongan Antarabangsa.
Bola sepak robot
Sementara itu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyasarkan penyertaan 30 negara pada penganjuran bola sepak robot piala dunia membabitkan robot autonomus, yang akan berlangsung pada 24 hingga 29 Ogos ini di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Mohd Noor berkata, pertandingan itu menjadi tumpuan kerana ia adalah kejohanan bola sepak yang hanya disertai robot tanpa campur tangan manusia.
“Pasukan Malaysia pernah mendapat tempat yang baik dalam beberapa kategori sebelum ini dan sebagai tuan rumah, Malaysia menyasar untuk menjuarai beberapa kategori pertandingan tahun ini,” katanya.
Dijangka sebanyak 50 pasukan membabitkan 600 peserta akan mempertaruhkan pasukan robot masing-masing pada pertandingan itu, manakala Kongres FIRA Roboworld selama dua hari pula dijangka membentangkan 100 kertas kerja dengan penyertaan 300 peserta.
Ia akan disusuli Hari Terbuka Industri, yang memberi peluang penggiat industri robotik tempatan dan antarabangsa mengetengahkan kepakaran masing-masing dan berkongsi pengalaman.
- BERITA HARIAN