Enam bulan diberi untuk kemukakan petisyen PRU

Semua petisyen dikemukakan parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) perlu didengar dan diselesaikan dalam tempoh enam bulan daripada tarikh ia difailkan.

Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria, berkata perkara itu perlu diberi perhatian oleh semua hakim yang akan mendengar permohonan semakan keputusan PRU-13 bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.
“Perkara ini penting memandangkan ada cubaan (parti politik) untuk mengemukakan petisyen berikutan kurang berpuas hati dengan keputusan PRU-13.

“Jika petisyen itu dikemukakan atau difailkan, saya memohon kerjasama semua (hakim) untuk melaksanakan tanggungjawab (mendengar) dengan minda yang bebas tanpa dipengaruhi oleh desakan mana-mana pihak.

Tempoh realistik

“Tempoh enam bulan ini adalah realistik, kerana kita jangka banyak petisyen akan dikemukakan dari Sabah, Sarawak dan di Semenanjung,” katanya ketika merasmikan Persidangan Majlis Hakim-Hakim Malaysia Kali Ke-47 di Kuantan.

Hadir sama, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Mohd Raus Shariff; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinuddin dan Hakim Besar Sabah/Sarawak, Tan Sri Richard Malanjun.
Seramai 101 Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan Pesuruhjaya Kehakiman menghadiri persidangan tahunan itu.

Ariffin turut menasihatkan hakim supaya tidak memberikan reaksi balas terhadap komen yang dibuat pengguna internet yang tidak berpuas hati dengan keputusan penghakiman yang dibuat.

Katanya, setiap keputusan yang sudah dibuat itu muktamad dan atas pertimbangan sewajarnya oleh hakim yang bertanggungjawab dalam mendengar dan mengadili kes terbabit.

Jangan layan komen

“Walaupun ada komen yang dibuat atau disebarkan dalam internet itu berunsur negatif dan berniat menjejaskan nama baik sistem kehakiman, kita (hakim) tidak perlu melayannya kerana ia dibuat oleh mereka yang tidak memahami fakta sebenar kes,” katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan semua hakim supaya membuat keputusan penghakiman bersandarkan perbicaraan yang dijalankan dan keterangan yang dikemukakan demi menjaga kepentingan awam.

“Perkara ini perlu diberi perhatian kerana ada trend sebelum ini, ada hakim yang cuba memperluaskan skop hak asasi kemanusiaan dalam keputusan penghakiman mereka.

Jejas kredibiliti

“Jika ini berlaku, menjadi perhatian dan kerisauan dalam kalangan pengamal undang-undang dan akhirnya dibimbangi akan memberi gambaran tidak betul terhadap kredibiliti badan kehakiman yang bertanggungjawab menegakkan keadilan di negara ini,” katanya.

- BERITA HARIAN


Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url