Malindo Air terbang ke Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kota Bharu mulai 3 Jun 2013



Malindo Air, komited untuk meningkatkan jumlah penumpangnya kepada 1.5 juta menjelang akhir tahun ini berikutan kejayaan membawa lebih 100,000 penumpang bagi tempoh dua bulan syarikat penerbangan itu beroperasi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chandran Rama Muthy berkata, pihaknya juga menerima pesawat pertama ATR 72-600 semalam yang akan mula beroperasi di Lapangan Terbang Subang pada 3 Jun 2013 ini.

Beliau berkata, pesawat yang mempunyai 72 tempat duduk itu akan mula ditawarkan kepada orang ramai bermula 3 Jun hingga 29 Mac 2014 bagi penerbangan ke Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kota Bharu dari Subang serendah RM69.

 “Kami akan memberi komitmen penuh untuk menawarkan serta meluaskan operasi dan rangkaian kami kepada semua peringkat masyarakat ke pelbagai destinasi pilihan.

“Namun, buat masa ini, Malindo Air lebih memfokus kepada destinasi tempatan dan sebagai permulaan perkhidmatan kami turut beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Subang,” katanya pada sidang media di majlis menerima pesawat baru ATR 72-600 di Subang, semalam.

Hadir sama, Presiden NADI, Tan Sri Ahmad Johan.

Chandaran berkata, pihaknya juga akan menerima antara empat hingga enam lagi pesawat jenis ATR 72-600 menjelang akhir tahun ini dan terus menawarkan peluang penerbangan kelas ekonomi ke destinasi baru dengan tambang lebih rendah.

Beliau berkata, selain itu operasi Malindo Air menggunakan pesawat Boeing B737-900ER yang menawarkan tujuh penerbangan masing-masing tiga ke Kota Kinabalu dan empat ke Kuching.

“Permulaan operasi kami berjaya mencapai kadar jualan tiket 80 peratus dalam tempoh tiga bulan pertama ini dan kami yakin jumlah itu akan terus meningkat berikutan permintaan semakin tinggi dan reaksi positif pelanggan yang kami terima berhubung penerbangan Malindo Air.

“Bagi menampung kapasiti penumpang, kami akan menerima dua lagi pesawat Boeing B737-900ER, Jun ini dan dua lagi pada September sebelum mencapai 12 unit akhir 2013,” katanya.

Tempahan boleh dibuat secara online di : http://www.malindoair.com/

- HARIAN METRO


 
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url