PC saiz meja kopi
Cukup besar untuk memuatkan empat orang dan skrin bertindak balas dengan 10 jari menyentuh pada masa yang sama
Lenovo memperkenalkan komputer peribadi (PC) bersaiz meja kopi yang berfungsi seperti tablet gergasi dan membolehkan empat orang menggunakannya serentak.
IdeaCentre Horizon Table PC boleh dikatakan sebagai komputer interpersonal pertama. Sekali pandang, ia kelihatan seperti mesin semua-dalam-satu biasa seperti iMac, iaitu dengan skrin 27 inci bersama Windows 8 dan ia boleh diletakkan secara menegak di atas meja.
Selain itu anda boleh meletakkannya di lantai untuk bermain permainan Monopoly. Ia cukup besar untuk memuatkan empat orang di sekitarnya, dan skrin boleh bertindak balas dengan 10 jari menyentuh pada masa yang sama.
Skrinnya bersamaan dengan saiz lapan iPads yang disambungkan dan seberat 6.8 kilogram. Ia seolah-olah sama seperti TV berskrin rata.
Pada demonstrasi di CES baru-baru ini, gambar dan video boleh diputarkan dengan jari. Penyebaran lima jari serentak pada skrin membersihkan paparan berselerak manakala dengan menguncupkan kelima-lima jari akan mengembalikan paparan gambar dan video semula.
Lenovo berkata PC Meja itu akan dijual bermula musim panas ini pada harga RM 5 ribu lebih atau kira-kira AS$1,699.
- BERITA HARIAN