Blackberry perkenal model Z30
Syarikat pengeluar telefon pintar Blackberry memperkenalkan model terbarunya Z30 untuk kembali bersaing dalam pasaran peranti mudah alih.
Pengurus Besar Blackberry Malaysia, Annamalai Muthu berkata, model yang menyusuli Blackberry Z10 yang akan mula dijual pada RM1,998 pada 5 Oktober lalu turut membawakan beberapa penambahbaikan yang dihasilkan daripada kajian serta pemahaman terhadap kehendak terkini kumpulan sasar segmen itu.
Jelas Annamalai, Z30 yang dikuasakan oleh prosesor 1.7Ghz dua teras kembar dan sistem operasi Blackberry 10 itu turut akan di datangkan dengan teknologi antena yang baharu.
"Teknologi antena terbaharu ini membolehkan pengguna untuk menerima isyarat komunikasi dari tempat terpencil seperti tempat letak kereta bawah tanah dengan lebih baik.
"Penambahbaikan ini juga akan mengurangkan kadar drop calls dan dengan fungsi Blackberry Natural Sound kami, kualiti audio juga dipertingkatkan," katanya dalam majlis pelancaran yang diadakan di sini hari ini.
Tambahnya lagi, penambahbaikan lain yang turut dimasukkan ke dalam peranti dengan skrin 5 inci Super Amoled ini ialah bateri berkuasa 2800 mAh yang akan memberikan masa guna selama hampur 25 jam.
Z30 akan mula dipasarkan di pasaran negara pada 5 Oktober depan oleh Celcom dan oleh penjual lain dua minggu selepas itu.
Sementara itu, sebagai promosi pengenalan, 200 pelanggan pertama Z30 Celcom akan mendapat telefon Z10 percuma.
Z30, peranti yang memang dinanti-nanti pasaran, akan menjadi peranti premium terbaru daripada BlackBerry menggantikan Z10 yang lebih kecil dan dilancarkan pada awal tahun ini.
Peranti terbaru itu ditampilkan dengan skrin sesentuh lima inci, digerakkan pemproses 1.7 gigahertz, akan bersaing dengan model baru Apple Inc, iaitu iPhone 5S dan Galaxy S4 daripada Samsung Electronics Co serta pelbagai peranti lain dikuasakan platform Android Google.
- UTUSAN