60 peratus wanita hidap kanser payudara tahap bahaya
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, pesakit berkenaan memilih rawatan alternatif berbanding rawatan di hospital tanpa menyedari kanser mereka sudah merebak ke seluruh badan.
"Faktor lain adalah pesakit kurang kesedaran mengenai pentingnya menjalani ujian saringan dan pengesanan awal kanser payudara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen dan Seminar Kesedaran Kanser Payudara 2014 di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah HKL Datuk Dr Zaininah Mohd Zain dan Ketua Jabatan Pengimejan Diagnostik HKL Dr Zaleha Abdul Manaf.
Dr Hilmi berkata, wanita perlu melakukan pemeriksaan payudara sendiri dan menjalani ujian mammografi di hospital-hospital kerajaan dan swasta bagi mengurangkan kadar kematian akibat penyakit itu, yang semakin meningkat kini.
Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak hospital kerajaan dan swasta mengadakan kempen kesedaran kanser payudara bagi membantu golongan wanita mengesan penyakit itu di peringkat awal.
Sementara itu, Pakar Bedah Payudara dan Endokrin di Jabatan Pembedahan Am HKL
Dr Nor Azham Hakim berkata, kebanyakan wanita yang didiagnosis dengan kanser payudara tahap kritikal adalah mereka yang berumur dalam lingkungan 40 hingga 60 tahun.
Bagaimanapun, katanya ada juga pesakit yang diserang penyakit itu pada usia lebih muda di Malaysia.
"Ini berbeza jika dibanding dengan negara-negara barat...ia menjadi kebimbangan kami semua," katanya.
Menurutnya kes baharu bagi kanser payudara juga meningkat secara konsisten di seluruh negara.
Sumber : BERNAMA