Peminjam gagal bayar PTPTN disenarai dalam CCRIS

Sebanyak 558,475 peminjam yang gagal membuat bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan disenaraikan di dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dengan kerjasama Bank Negara, mulai 1 Januari 2015.
   
Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata bagaimanapun pada peringkat permulaan penyenaraian itu akan membabitkan 173,985 peminjam tegar, iaitu mereka yang tidak pernah membuat bayaran balik melebihi tiga tahun daripada tarikh pembayaran sepatutnya dibuat.
   
"Penyenaraian ini akan dibuat secara berperingkat. Pada peringkat permulaan, butiran mengenai 173,985 peminjam dengan pinjaman berjumlah RM1.23 bilion akan disenaraikan dalam CCRIS.
   
"Peringkat seterusnya akan melibatkan penyenaraian butiran peminjam PTPTN yang selebihnya," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
   
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN Agos Cholan dan Ketua Pegawai Operasi PTPTN Wan Ahmad bin Wan Yusoff.

CCRIS merupakan sistem pangkalan data Bank Negara yang menyimpan maklumat kredit peminjam yang dilaporkan oleh institusi kewangan.
   
Menerusi pendekatan ini, peminjam PTPTN yang ingkar akan menerima kesan seperti peminjam institusi kewangan lain, terutama membabitkan kelulusan permohonan pinjaman, kad kredit, dan sewa beli.
   
PTPTN pernah mengumumkan pelaksanaan sistem CCRIS untuk peminjam tegar pada Ogos 2013 namun ditangguhkan berikutan rayuan pelbagai pihak yang mahu langkah itu dikaji semula kerana ia membebankan peminjam.
   
Shamsul berkata PTPTN kini terpaksa melaksanakan penyenaraian itu kerana pelbagai langkah yang diambil sebelum ini, termasuk menyekat peminjam yang gagal menjelaskan hutang mereka daripada berkunjung ke luar negara, tidak mendatangkan hasil.

Sumber : BERNAMA

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url