Peraturan Pendaftaran Nama oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)



Nama pelik

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan garis panduan yang menetapkan 16 senarai kumpulan nama disifatkan ‘nama pelik’ yang tidak boleh didaftar kerana tidak sesuai digunakan sama ada dari sebutan atau makna.

Tindakan ini dibuat bagi mengelak ‘nama pelik’ berulang sebagaimana yang berlaku pada masa lalu. Antara nama pelik yang masih digunakan oleh individu tertentu hingga hari ini ialah Pungut, Abd Patah, Mohd Hitler, Kopek, Punat, Bongek, Tumpang, Rentimun, Awan, Samudra dan banyak lagi yang masih ada dalam simpanan JPN.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Wan Ibrahim Wan Ahmad berkata, sembilan daripada jumlah berkenaan adalah tertakluk di bawah Garis Panduan Nama Yang Tidak Sesuai 1988, manakala bakinya termasuk dalam senarai nama ditegah atau dilarang mengikut buku panduan JPN yang diguna pakai di seluruh negara.

Antara senarai nama ditegah atau dilarang adalah kumpulan nama gelaran yang dianugerahkan kerajaan seperti Tun, Tan Sri, Datuk, Datin, Puan Sri, Datuk Patinggi, Datuk Wira, Datuk Bentara Dalam atau Datuk Bentara Luar.

Ini diikuti nama pangkat atau jawatan contohnya haji, imam, nabi, mufti, ketua menteri, gabenor, sarjan, laksamana, hakim atau permaisuri.

“Nama gelaran keturunan seperti Tunku, Tengku, Raja, Syed dan Syarifah tidak boleh digunakan orang lain iaitu bukan daripada empat keturunan ini kecuali mereka yang lahir dalam keluarga berkenaan saja.

“Nama profesional dan kepahlawanan sama ada doktor (Dr), jurutera (Ir), Mahaguru, Pendekar atau Satria; tidak kira setinggi mana pun kelayakan mereka tidak dibenarkan sama sekali selain nama yang berbunyi lucah dan buruk,” katanya.

Larangan lain di bawah kategori nama tidak sesuai termasuklah nama binatang, serangga, tumbuh-tumbuhan, makanan, lucu, kejadian alam, alat perkakas, warna, nama daripada huruf atau angka atau gabungan kedua-duanya, pakaian dan perkataan Arab, Cina dan India yang tidak elok maknanya.

Kata Wan Ibrahim, JPN juga pernah menerima permohonan menamakan anak dengan nama dewa tetapi terpaksa ditolak kerana ia jelas tidak sesuai.

“Mereka yang berkeras hendak menggunakan nama yang tersenarai dalam kumpulan tidak sesuai boleh membuat permohonan tetapi perlu memberi penjelasan munasabah dan kukuh kepada JPN. Bagaimana pun keputusan menerima atau menolak tertakluk kepada budi bicara pendaftar besar (ketua pengarah).

“Semua bangsa perlu berhati-hati ketika memilih nama anak kerana ada perkataan dalam bahasa kita sedap bunyinya tetapi mempunyai makna yang tidak elok dalam bahasa lain,” katanya.

Antara perkataan Arab yang mempunyai maksud tidak elok termasuklah Narul yang bererti neraka, Zaniah (penzina wanita), Zani (penzina lelaki), Khinzir (*sensored*), Zakar dan Woti (persetubuhan).

Garis panduan itu turut dilengkapi nama yang tidak dibenarkan bagi masyarakat Cina dan India hasil kerjasama dan rujukan daripada Persatuan Mubaligh Buddha Malaysia, Persatuan Hindu Sangam dan Persatuan Bahasa Tamil Universiti Malaya.

Contoh nama Cina yang tidak dibenarkan ialah Ah Chwar yang bermaksud ular dalam dialek Hokkien atau Ah Kwai (hantu) dalam dialek Kantonis. Manakala bagi nama India yang dilarang termasuklah Ammakannu, Andyapan dan Karupusamy yang semua membawa makna tidak elok.

Justeru, Wan Ibrahim menasihatkan supaya ibu bapa membuat ‘sedikit kerja rumah’ menyemak makna nama yang hendak diberikan kepada anak supaya tidak timbul masalah aib atau perlu menukar nama apabila dewasa.

NAMA YANG DITEGAH ATAU DILARANG
Nama gelaran yang dianugerahkan kerajaan

Tun, Tan Sri, Datuk, Datin, Puan Seri, Dato Seri, Datuk Paduka, Datuk Patinggi, Datuk Wira Jaya, Datuk Bentara Dalam, Datuk Bentara Luar.

Nama pangkat atau jawatan

Haji, Nabi, Imam, Rasul, Mufti, Ketua Menteri, Kadi, Perdana Menteri, Gabenor, Sarjan, King, Hakim, Permaisuri, Guru, Ustaz, Shahbandar, Ustazah.

Gelaran keturunan

Syarifah, Syed, Tunku, Tengku, Raja

Nama-nama profesional

Doktor (Dr), Ir (Engineer), Professor, Akauntan, Audit, Diplomat

Nama-nama kepahlawanan

Mahaguru, Pahlawan, Pendikar, Panglima, Bomoh, Pawang, Dukun, Satria

Nama lucah atau yang lucah bunyinya

N*n*k, B*nt*t, Bola Besar, Kot*, F*r*j, Shahwat, Zina, K*pek, Pun**k, Pun*t, Khalwat, Z*k*r, K*l*p, Coli, Liwat

Nama-nama buruk

Buruk, Malang, Sial, Derita, Haram, Pungut, Hapak, Baruah, Bunting

NAMA YANG TIDAK SESUAI
Nama binatang atau serangga

*sensored*, Monyet, Keldai, Rimau, Lipan, Buaya, Belalang, Semut, Ular

Nama buah-buahan, sayur-sayuran, tumbuhan, makanan

Ciku, Pisang, Keladi, Kucai, Terung, Karet, Serai, Jintan, Kunyit, Halia, Bawang Merah, Kelapa, Santan, Lidi, Nasi, Bubur, Ketupat, Laksa, Sirap, Cendol, Lempeng, Daun.

Nama-nama lucu

Kecut, Kutai, Kuyok, Boyak, Kudung, Pendek, Panjang, Tinjau, Apek, Lonjong, Kuding, Tunggal, Sinon, Ketiak, Leper, Kemek, Janggut, Tanduk, Kerepot

Nama-nama kejadian alam

Gunung, Salji, Suria, Pelangi, Awan, Bintang, Bulan, Guruh, Petir, Panas, Hujan, Bumi, Langit, Gelombang, Laut, Batu, Angkasa

Nama-nama alat perkakas

Senduk, Piring, Mangkuk, Cawan, Katil, Tilam, Garpu, Tingkap, Pagar, Lesong, Berus, Parang, Tajak, Golok

Nama-nama warna

Hitam, Putih, Jingga, Merah, Coklat, Kuning

Nama-nama huruf atau angka atau gabungan kedua-duanya

D, K, P, Z, 001, 007, K 7, K 4, Zero-zero Seven

Nama perhiasan atau pakaian

Cincin, Subang, Anting-anting, Mutiara, Benang, Kain, Baju, Rantai, Seluar, Kasut

Perkataan Arab yang maknanya tidak elok

Narul (neraka), Zaniah (penzina perempuan), Zani (penzina lelaki), Khinzir (*sensored*), Zakar (kemaluan lelaki), F*r*j (kemaluan perempuan), Wati (persetubuhan).


Hak tukar nama anak

Datuk Tigabelas, Pungut, Buang, Tumpang, Bulat, Itam, Puteh, Khamis atau Jumaat adalah antara contoh ‘nama pelik’ yang tidak asing di kalangan masyarakat dahulu.

Walaupun kedengaran agak lucu dan sedikit memalukan tetapi bagi masyarakat dahulu, ia perkara biasa.

Jarang sekali orang dahulu teliti memilih nama anak, yang penting setiap anak perlu ada nama. Sebaik anak lahir, lazimnya apa yang terlintas dalam kepala itulah yang disebut kepada pendaftar kelahiran hingga timbulnya pelbagai ‘nama pelik’.

Salah faham, sikap tidak acuh dan menyerahkan sepenuhnya ejaan nama anak kepada budi bicara pendaftar akibat buta huruf, adalah antara punca utama nama yang kadangkala boleh memalukan pemiliknya apabila meningkat dewasa.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Wan Ibrahim Wan Ahmad berkata, fenomena itu timbul daripada sistem pendaftaran secara lisan dan hanya berdasarkan kepada ‘apa yang disebut’ bapa kepada pendaftar.

Malah ejaan nama juga kebanyakannya diserahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan pendaftar ketika itu (lazimnya pendaftaran dibuat di balai polis berdekatan) kerana ramai ibu bapa ketika itu buta huruf.

“Sebutan nama anak yang kurang jelas boleh menimbulkan salah faham pendaftar. Contohnya ada yang mahu memberikan nama anaknya ‘Ahmad’ tetapi ketika di hadapan pendaftar dia menyebut ‘Ahmad Kamal saja’ dan ini menyebabkan nama anaknya ditulis sebagai ‘Ahmad Kamal Saja’.

“Sama juga halnya dengan nama Yaakob yang dieja sebagai Yaacob atau Mohamad ditulis Mohd. Jika mengikut ejaan rumi, Mohd berbunyi mo-hed; yang tidak ada makna langsung.

“Ramai orang keliru mengenai nama Mohd. JPN kini menetapkan ejaan Mohd tidak boleh digunakan sebagai nama pemberian kepada anak. Ia hanya dibenarkan sekiranya mempunyai sejarah nama keluarga yang bermula dengan M-o-h-d contohnya Mohd Ridzuwan bin Mohd Ismail. Jika Mohd itu perkataan tunggal untuk nama anak, ia tidak dibenarkan sebaliknya perlu dieja sebagai Mohamad.

“Bagaimanapun, masalah nama kini jarang berlaku kerana JPN sudah mengubah sistem pendaftaran daripada secara lisan kepada bertulis. Lagi pula, ibu bapa kini sudah sedar musibah ‘nama pelik’, malah kebanyakannya berpelajaran dan amat teliti ketika memilih nama anak,” katanya.

Menurutnya, pemilihan nama yang baik kini lebih mudah dibuat kerana ada banyak sumber untuk dirujuk sama ada daripada penerbitan buku senarai nama berasaskan perkataan Arab mahupun kepada pegawai agama.

Ibu bapa disaran memilih nama yang elok, mudah dipanggil, tidak terlalu panjang atau menyentuh sensitiviti dan hak sesetengah pihak.

Contohnya gelaran keturunan seperti Raja, Tunku, Tengku, Syed dan Syarifah tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya dan ia hanya dibenarkan kepada mereka yang lahir dalam keturunan berkenaan sahaja.

Had nama

“JPN hanya membenarkan nama yang panjangnya sehingga 94 aksara sahaja. Ini termasuklah nama bapa, perkataan bin, binti, a/l, a/p atau anak, koma, sengkang atau sebarang tanda bacaan lain dan paling penting; pastikan ejaan nama anak ditulis dengan betul,” katanya.

Ini kerana mengikut Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957, sijil kelahiran seseorang itu cuma boleh diubah jika berlaku kesilapan perkeranian, seperti ejaan nama salah dan kesalahan fakta seperti kekeliruan jantina. Contohnya, jantina bayi perempuan dicatat sebagai bayi lelaki.

Pun begitu, undang-undang pendaftaran nama anak tidaklah bersifat kejam. Sebenarnya ramai tidak sedar mereka berhak dan dibenarkan mengubah atau menukar nama anak keseluruhannya dalam tempoh setahun selepas kelahiran.

Pendaftaran nama anak perlu dilakukan dalam tempoh 14 hari dan akan dikenakan denda RM5 bagi pendaftaran lewat iaitu antara 15 hingga 42 hari selepas kelahiran dan denda maksimum bagi pendaftaran pada hari ke 43 dan seterusnya.

“Tempoh setahun ini dirasakan cukup lama untuk ibu bapa memikirkan nama yang sesuai bagi anak mereka. Ada juga kes di mana ketika pendaftaran, ibu bapa tidak dapat mencari nama yang bertuah mengikut feng shui seperti diamalkan masyarakat Cina, mereka boleh daftarkan nama sementara.

“Harus diingat, pertukaran nama ini hanya boleh dilakukan dalam tempoh setahun saja. Selepas setahun nama yang tercatat pada sijil kelahiran tidak boleh diubah sampai bila-bila kerana sudah dimasukkan ke dalam fail data kekal di JPN,” katanya.

Namun bagi kes istimewa seperti bayi yang tidak mempunyai nama yang lazimnya berlaku ke atas anak tidak sah taraf, pertukaran nama boleh dilakukan pada bila-bila masa saja.

Kata Wan Ibrahim, JPN turut menerima kes anak tidak sah taraf yang tidak diberikan nama ketika didaftarkan dan ruangan nama bayi pada sijil kelahiran ditulis ‘Tiada Nama’.

“Saya menyeru mana-mana pihak yang menghadapi masalah begini, berhubunglah dengan pegawai di ibu pejabat JPN. Jangan tangguhkan pendaftaran anak atau menyerahkannya kepada orang tengah kerana ia boleh mendatangkan banyak masalah. JPN menyediakan pegawai dan bilik khas untuk golongan ini menyelesaikan masalah mereka.

“Penukaran nama anak tanpa nama di bawah umur 21 tahun perlu dilakukan ibu, bapa atau penjaga dan permohonan ini boleh dilakukan individu berkenaan sendiri selepas melepasi 21 tahun,” katanya.

Bagi mereka yang mempunyai nama tidak elok atau memalukan juga dibenarkan membuat pindaan atau pertukaran nama ketika memohon kad pengenalan kedua dengan syarat membawa surat sokongan seperti dari Jabatan Agama atau ahli bahasa dan perlu membuat akuan bersumpah di Pesuruhjaya Sumpah ketika permohonan.

Paling popular

Penukaran nama kerana bertukar agama contohnya daripada Islam kepada agama lain juga dibenarkan dengan syarat individu berkenaan membawa surat pengesahan daripada Jabatan Agama Islam atau mahkamah syariah.

Peraturan sama digunakan dalam isu menggugur atau meletakkan bin pada kad pengenalan. Orang ramai boleh memilih untuk mengekalkan perkataan bin pada Mykad atau digugurkan terus daripada nama mereka. Bagaimanapun nama ini hanya ditukar pada kad pengenalan saja dan nama asal yang tercatat dalam sijil kelahiran tetap kekal.

Wan Ibrahim mengingatkan bagi mereka yang menukar nama supaya berhati-hati dan mengambil kira semua aspek supaya pertukaran atau perubahan nama itu tidak akan mendatangkan masalah dalam urusan rasmi dan dokumentasi lain terutama apabila membabitkan hak seperti harta, pembahagian tanah dan tuntutan insurans.

Katanya, sukar untuk memberikan nama paling popular di kalangan masyarakat Melayu kerana ia berubah mengikut musim seperti awalan nama Nurul dan Iman yang diklasifikasi sebagai nama moden.

Beliau menambah, tidak salah jika ada pihak yang mahu mengekalkan nama klasik Melayu atau nama keluarga yang unik kerana ia bukan saja boleh membentuk salasilah menarik bahkan mampu mendidik ahli keluarga berkenaan supaya sentiasa menjaga nama baik seluruh keturunan mereka.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url