Sultan Muhammad V Angkat Sumpah Yang di-Pertuan Agong 15
Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V hari ini melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara.
Turut melafaz sumpah memegang jawatan ialah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Kedua-dua baginda dipilih Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-243 (Khas) di Istana Negara, pada 14 Oktober lalu, bagi tempoh 5 tahun bermula 13 Disember 2016.
Sultan Muhammad V, 47, menggantikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14, 12 Disember 2016.
Upacara di balairung seri hari ini bermula dengan Mesyuarat Majlis Raja-raja Ke-244 (Khas) sempena Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh kedua-dua baginda.
Mesyuarat Khas itu dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Memulakan istiadat, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Datuk Syed Danial Syed Ahmad tampil menyembahkan Surat Sumpah Jawatan kepada Sultan Muhammad V yang kemudiannya melafazkan Sumpah Jawatan sebelum menandatanganinya.
Surat Sumpah jawatan itu kemudiannya ditandatangani Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, sebagai saksi.
Penyimpan Mohor Besar Raja-raja kemudian menyembahkan pula Surat Sumpah Jawatan kepada Sultan Nazrin yang kemudiannya melafazkan sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong sebelum menandatanganinya.
Surat Sumpah Jawatan baginda turut ditandatangani Sultan Mizan dan Tuanku Syed Sirajuddin sebagai saksi.
Selesai istiadat itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja memaklumkan Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-244 (Khas) ditangguhkan ke suatu masa yang akan ditetapkan kelak.
Acara di balairung seri kemudiannya diteruskan dengan istiadat menandatangani perisytiharan memegang jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong dan timbalannya.
Memulakan istiadat itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang diapit Datuk Paduka Maharaja Lela, Mejar Jeneral Datuk Md Tajri Alwi dan penolongnya, Azuan Effendy Zairakithnaini menghadap dan menyembahkan Surat-surat Perisytiharan memegang jawatan untuk ditandatangani Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Najib kemudian membaca perisytiharan Sultan Muhammad V mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, manakala Sultan Nazrin pula mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Upacara penuh istiadat yang disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Semua 9 raja Melayu atau wakil baginda serta 3 yang dipertua negeri hadir pada upacara berkenaan, kecuali Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud yang diwakili Speaker Dewan Undangan Sarawak, Datuk Mohamad Asfia Awang Nassar.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menteri besar, ketua menteri, menteri Kabinet, anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta pegawai tinggi kerajaan.
Setelah selesai upacara di balairung seri, Najib mengetuai upacara menghadap diikuti menteri Kabinet serta orang kenamaan.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah turut melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.