Lokasi Tumpuan Tahun Baru Cina 2018
TOKYO berjaya mendahului Bangkok sebagai destinasi nombor satu sempena cuti Tahun Baru Cina untuk pengembara Asia pada tahun 2018, melenyapkan rekod yang disandang oleh Bangkok sejak dua tahun lalu, menurut platform tempahan dalam talian global Agoda.
Malah Jepun telah menguasai tiga kedudukan dalam 10 senarai teratas apabila Kyoto tersenarai buat julung kalinya di kedudukan kesembilan, manakala Osaka mendaki ranking dari kedudukan kesembilan pada tahun 2016 kepada destinasi ketiga teratas pada Tahun Baru Cina 2018.
Percutian di bandar mendominasi ranking dengan satu-satunya destinasi pantai, iaitu Phuket, Thailand berjaya tersenarai dalam kedudukan 10 teratas.
Tarikan daerah Chinatown Yokohama berhampiran Tokyo – yang menganjurkan acara selama dua minggu, termasuk parti kira detik, persembahan tarian singa tradisional, perarakan dan Festival Tanglung telah menarik pengembara dari seluruh dunia, terutamanya Asia, dengan kumpulan pelancong luar negara paling ramai berasal dari Taiwan (26 peratus), Korea Selatan (15 peratus) dan Tanah Besar China (15 peratus).
Sementara itu, ranking bagi destinasi-destinasi lain seperti Singapura dan Chiang Mai telah menurun, masing-masing dari tempat ketiga pada tahun 2016 kepada tempat kelapan pada tahun 2018, dan dari tempat ketujuh pada tahun 2016 kepada tempat ke-12 pada tahun 2018.
ementara itu, warga Malaysia lebih cenderung untuk menyambut cuti perayaan ini di destinasi dalam negara mereka sendiri, dengan lapan dari 10 tempat tumpuan utama adalah destinasi tempatan.
Kuala Lumpur, Melaka dan Pulau Pinang menduduki tiga tempat teratas sejak tahun 2016, manakala pulau-pulau di Langkawi dan cuaca sejuk di Cameron Highlands turut menarik para pengembara yang ingin melarikan diri dari bandar.
Thailand merupakan satu-satunya negara asing yang tersenarai dalam 10 destinasi teratas pada tahun 2018 pada cuti perayaan ini dengan Bangkok dan Hat Yai menjadi pilihan. - Agoda