PLKN dan BTN dimansuhkan



Kerajaan telah memutuskan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tata Negara (BTN) dimansuhkan dan digantikan dengan program baharu yang dapat membentuk belia masa hadapan (Youth of the Future) yang berwawasan dan tinggi nilai jati dirinya.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, program baharu ini yang diuruskan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan membuat penstrukturan semula dari segi fungsi, perjawatan, peruntukan kewangan dan aset Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dan BTN.

"Pengisian program ini dirangka secara holistik dengan menggabungkan aktiviti indoor dan outdoor berimpak tinggi untuk menyerlahkan potensi anak muda sebagai rakan strategik dalam membangunkan negara berpandukan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

"Elemen yang diterapkan termasuklah 'teambuilding', pembinaan karakter dan integrasi nasional, kenegaraan, jati diri dan sosialisasi politik.

"Penambahbaikkan ini selaras dengan hasrat KBS yang ingin terus mengangkat suara anak muda dalam landskap Malaysia baharu. Ia akan direalisasi dengan cadangan pindaan umur mengundi (dari 21 ke 18 tahun) pada PRU ke-15 nanti," jelasnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Syed Saddiq, memandangkan program ini melibatkan kolaborasi merentas kementerian dan agensi, KBS akan mengadakan 'engagement' dengan pemegang taruh seperti JPM (Jabatan Perdana Menteri), KPWKM (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat), Mindef, KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) dan pertubuhan bukan kerajaan termasuk persatuan belia untuk memperhalusi mekanisma pelaksanaan agar program ini dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

"Sesi engagement ini mencerminkan aspirasi kerajaan Pakatan Harapan untuk memastikan program ini lebih inklusif, telus dan bebas daripada doktrin politik dan perkauman."


Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url