Dr Say bercerita mengenai kesuburan


Realiti yang agak menyedihkan berlaku dalam kalangan masyarakat kita apabila golongan isteri sering dipersalahkan jika mereka gagal melahirkan zuriat.

Namun, beberapa siri perkongsian doktor tampan lagi popular, Dr Muhammad Shazril Shaharuddin, menerusi laman Instagram ternyata membuka mata ramai pihak khususnya golongan lelaki berhubung topik itu.

Bercerita lanjut kepada mStar Online, dia yang lebih dikenali sebagai Dr Say mengakui berasa terpanggil untuk berkongsi kisahnya demi mendidik golongan lelaki agar tidak segan untuk mendapatkan rawatan sekiranya mengalami masalah kesuburan.

"Saya terfikir kenapa saya tidak disoal dan ditekan orang sekeliling mengenai isu zuriat, kenapa hanya golongan isteri yang sering diajukan soalan itu.

"Ikutkan rasa, agak malu untuk bercerita, tapi agak mengejutkan rata-rata respons di posting itu positif. Malah ramai kaum lelaki yang mengalami nasib sama menghubungi saya untuk bertanya lebih lanjut.

"Walaupun seolah-olah membuka aib cerita 'dalam kain' sendiri, ia sekurang-kurangnya memberi manfaat kepada seluruh masyarakat khusunya pasangan suami isteri, saya kira mesej itu sampai kepada mereka," ujarnya sewaktu dihubungi.

Menerusi tiga siri perkongsian di Instagram, doktor berusia 30 tahun itu bercerita mengenai kisah rumah tangga termasuk ujian kesuburan yang dilakukannya.

Biarpun berkecimpung dalam bidang perubatan, Dr Say berkata, dia juga sama seperti insan lain yang tidak terlepas daripada masalah kesihatan.

"Kesihatan diri mencerminkan identiti kita sebagai doktor. Namun, disebabkan kekangan jadual kerja yang padat kadang-kala kita terlepas pandang.

"Apabila saya membuat pemeriksaan, saya mendapat tahu pengambilan kafein dan minuman berkarbonat menjadi punca masalah kesuburan saya.

"Maka bermulalah perubahan gaya hidup saya. Sesiapa yang ikuti Instagram mesti perasan saya rajin masak sendiri, pagi-pagi sarapan ambil tea instead of coffee, pepsi black memang saya buang. Semua demi bini," ujarnya lagi.

Dia yang sudah menjalani pemeriksaan sekitar Julai lalu turut positif dan berharap agar usahanya untuk memperolehi cahaya mata akan berhasil tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Dr Say turut menggariskan beberapa tip untuk kesuburan lelaki.

Katanya, aspek pemakanan sangat memainkan peranan penting, termasuklah pengambilan rokok, alkohol dan aspek pemakaian khususnya seluar yang ketat.

"Kepada mereka di luar sana, fikir masa depan dan pasangan. Kalau ego dan malu, cuba letakkan diri kat tempat isteri," ujarnya lagi.

- mSTAR
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url