Bahaya dadah NPS
Kewujudan 'new psychoactive substance' atau bahan psikoaktif baharu (NPS) dikhuatiri menjadi alternatif dalam aktiviti penyalahgunaan bahan terlarang kerana belum dikategorikan dalam dadah berjadual.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata setakat ini, terdapat lebih 950 jenis dadah disyaki mengandungi NPS dilaporkan berada dalam pasaran seluruh dunia.
"Bagaimanapun hanya 44 jenis daripadanya yang diwartakan dalam undang-undang negara menerusi Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.
"Ini adalah satu cabaran besar yang dihadapi semua elemen pasukan penguatkuasaan negara dalam membanteras aktiviti penyeludupan, pemerosesan, pengedaran dan penagihan dadah di negara kita," katanya ketika ditemui di Bukit Aman, baru-baru ini.
Katanya, NPS dikhuatiri menjadi dadah alternatif pada masa ini atau akan datang kerana ada sesetengah NPS belum dikategorikan sebagai dadah jadual dalam Akta Dadah Berbahaya 1952.
NPS adalah kandungan bahan yang disalah guna bertujuan meniru ubat-ubat terkawal yang boleh menimbulkan kemudaratan kesihatan.
Kandungan utama dalam NPS adalah campuran pelbagai bahan kimia yang diubahsuai menjadi dadah tiruan.
Dalam pada itu, katanya seramai 70,803 individu ditahan membabitkan pelbagai kesalahan dadah seperti membekal, memiliki dan positif ujian saringan air kencing sejak Januari hingga Jun lalu.
"Dalam tempoh yang sama, kita merampas RM201 juta pelbagai jenis dadah dan melumpuhkan 91 sindiket dadah di seluruh negara.
"Selain itu, sebanyak sembilan makmal dadah haram turut dibongkar sepanjang tahun ini sehingga Jun lalu membabitkan 36 tangkapan individu.
"Sepanjang tahun ini juga, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sudah membuka 27,291 kertas siasatan dan daripada jumlah berkenaan sebanyak 21,929 atau 80 peratus sudah dituduh," katanya.
Beliau juga berkata, nilai harta yang disita berkait dengan kegiatan dadah adalah sebanyak RM420 juta manakala RM1.3 juta lagi dilucuthak membabitkan pelbagai harta.
PDRM juga mendapati trend tangkapan membabitkan penyalahgunaan dadah dalam parti-parti liar semakin meningkat iaitu seramai 664 individu sepanjang Januari hingga Jun lalu.
Sumber : Berita Harian