Bayaran balik PTPTN ditangguh hingga 31 Disember 2020



Kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk tempoh tiga bulan lagi bermula 1 Oktober ini.

Langkah itu diambil seiring pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar bagi mereka yang terkesan dengan penularan COVID-19.

Menteri Pengajian tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata penangguhan terbabit membabitkan jumlah bayaran balik kira-kira RM375 juta.

"Ini bermakna jumlah keseluruhan anggaran penangguhan bayaran balik adalah sebanyak RM1.13 bilion.

"Semua peminjam PTPTN akan diberikan penangguhan bayaran balik pinjaman secara automatik tanpa perlu membuat sebarang permohonan sebagaimana pelaksanaan penangguhan sebelum ini.

"Sekiranya ada peminjam ingin meneruskan bayaran balik pinjaman, mereka boleh berbuat demikian melalui saluran bayaran balik secara dalam talian yang disediakan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, kerajaan amat prihatin dan peka terhadap kekangan kewangan yang dihadapi segelintir peminjam PTPTN yang terkesan akibat kehilangan punca pendapatan susulan penularan wabak itu.

"Diharapkan pengumuman ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh peminjam PTPTN," katanya.

Untuk maklumat dan pertanyaan lanjut, peminjam boleh menghubungi Careline PTPTN menerusi talian di 03 - 2193 3000 yang beroperasiIsnin hingga Jumaat, jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang atau layari portal rasmi, www.ptptn.gov.my.

Pada 29 Julai lalu, kerajaan dilaporkan bersetuju melaksanakan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar khusus kepada rakyat yang hilang pekerjaan dan masih belum mendapat pekerjaan baharu.

Muhyiddin dipetik berkata, lanjutan moratorium akan diberikan untuk tempoh tiga bulan.


Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url